Warga Malaysia dihukum penjara selepas 20 tahun melarikan diri

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SINGAPURA 11 Jun – Seorang rakyat Malaysia yang melarikan diri lebih 20 tahun, dihukum penjara enam bulan berkuat kuasa daripada tarikh akhir hukuman yang dikenakan ke atasnya pada 1999 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Kanun Keseksaan.

Mahkamah Biro Siasatan Amalan Rasuah (CIPB) Singapura menerusi laman webnya menyatakan, R Siva Kumar, 46, ditahan dengan bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 Mac 2020 dan dibawa ke republik itu untuk menjalani hukuman kesalahan imigresen yang dilakukannya di Singapura pada 1999.

Biro itu menyatakan, Siva disabit dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 12 sebatan kerana terbabit dalam konspirasi menyeludup pendatang tanpa izin dari Singapura ke Malaysia menerusi pusat pemeriksaan Woodlands pada 24 September 1999.

Konspirasi itu membabitkan pemberian rasuah kepada seorang pegawai polis bantuan CISCO bagi membenarkan bas yang mengangkut pendatang tanpa izin berkenaan melepasi sekatan tanpa pemeriksaan imigresen, menurut laman web itu.

CPIB berkata, pegawai CISCO itu disabitkan bersalah pada 5 Oktober 1999 dan dihukum penjara setahun serta denda S$2,800 kerana rasuah tetapi Siva menghilangkan diri sekitar tahun 1999 sewaktu mendapat jaminan mahkamah bagi menunggu keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya.

Biro itu menyatakan waran tangkap dikeluarkan terhadap Siva pada 9 Mac 2000.

Siasatan CPIB mendapati pada Oktober 1999, Siva pulang ke Malaysia menaiki kenderaan dipandu individu dikenali sebagai “boy” dan lelaki itu menyerahkan pasport orang lain di pusat pemeriksaan Woodlands bagi memperdaya pegawai imigresen.

Atas tindakan itu, Siva didakwa pada 16 April 2021 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Kanun Keseksaan, kata Biro itu.

Hari ini, CPIB menyatakan, Siva mengaku salah dan dihukum penjara enam bulan, berkuat kuasa sejurus dia menghabiskan hukuman yang dikenakan ke atasnya pada 1999.

“Kerjasama erat dan amat berharga oleh SPRM, membolehkan Siva ditahan pada 4 Mac 2020.

“CPIB amat menghargai kerjasama rapat dengan SPRM dalam kes ini bagi memastikan pesalah dihadapkan ke muka pengadilan dan tiada yang terlepas daripada undang-undang,” menurut Biro itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post COVID: 170 kes baharu, dua kematian di Melaka
Next post Salah guna surat majikan rentas daerah jual dadah
Ubah saiz-+=