COVID-19: 4,029 kes baharu, angka harian tertinggi setakat ini

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Malaysia mencatat 4,029 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, angka harian tertinggi sepanjang pandemik itu melanda negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 4,021 kes tempatan dan lapan kes import sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 155,095.

“Bagi kes penularan dalam negara, 2,711 kes melibatkan warganegara Malaysia manakala 1,310 kes adalah bukan warganegara,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 2,148 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 117,375 kes atau 75.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, lapan kematian akibat COVID-19 dilapor hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara adalah sebanyak 594 kes.

Kes kematian itu melibatkan empat mangsa di Sabah dan masing-masing satu kes di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pahang yang menyaksikan kesemua mangsa berumur lingkungan 40 hingga 78 tahun dengan latar belakang berpenyakit.

Dr Noor Hisham berkata Selangor masih kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 1,466 diikuti Johor (719 kes) dan Sabah (449).

Beliau turut memaklumkan terdapat enam kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan tiga kluster tempat kerja iaitu Kluster Senai Cyber dan Kluster Jalan Sembrong di Johor serta Kluster Jalan Permata di Seremban, Negeri Sembilan.

Tiga kluster lain ialah Kluster Tembok Nanas iaitu pusat tahanan di Pontian, Johor; Kluster Taman Juta di daerah Hilir Perak dan Kluster Kampung Lebu iaitu kluster berkaitan kenduri perkahwinan dan tahlil yang melibatkan daerah Bentong dan Kuantan di Pahang.

“Kluster Senai Cyber mencatatkan 114 kes, Kluster Jalan Permata (61 kes), Kluster Tembok Nanas (41 kes), Kluster Kampung Lebu (21 kes) Kluster Jalan Sembrong (18 kes ) dan Kluster Taman Juta (14 kes),” katanya.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 641 manakala kluster yang telah tamat berjumlah 356 termasuk lima hari ini iaitu Kluster Impian, Kluster Utama Rini, Kluster Kuala, Kluster Malawati, dan Kluster Tapak Bina Bulatan.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau ialah sebanyak 285 dan daripada jumlah itu, 71 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat 205 kes positif COVID-19 di Unit Rawatan Rapi dan 79 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.- BERNAMA

Views:

451
Kongsi :
Previous post 40 sukarelawan ‘rentas’ negeri salur bantuan di Pahang
Next post Sasar 5,000 beg darah seluruh negara
Ubah saiz-+=