40 sukarelawan ‘rentas’ negeri salur bantuan di Pahang

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MARAN 16 Jan. – Seramai 40 sukarelawan berjaya merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Melaka untuk menyampaikan sumbangan melalui Misi Bantuan Pasca Banjir Pahang di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Konvoi misi bantuan membabitkan 14 kenderaan termasuk empat lori itu selamat tiba kira-kira jam 1 petang di pekarangan dewan itu selepas berlepas dari Ayer Keroh, Melaka jam 8.20 pagi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merangkap ketua misi, Datuk Shadan Othman berkata, sumbangan disampaikan berupa barangan makanan dan keperluan asas seperti beras, gula, selimut, bantal dan dapur memasak bernilai kira-kira RM80,000.

“Awalnya, kita berhasrat untuk menyertai kerja-kerja pembersihan banjir di sini, namun selepas dinasihatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita terpaksa menukar perancangan dan memberi fokus kepada penghantaran sumbangan sahaja.

“Alhamdulillah semua barangan dan makanan yang disumbangkan syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan dapat kami sampaikan di Dewan Jubli Perak ini yang merupakan lokasi pengumpulan bantuan banjir,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas majlis penyampaian sumbangan di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin hadir menyempurnakan majlis itu.

Shahaniza ditemui MHI, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka yang tampil menghantar sendiri bantuan.

Ujarnya, hubungan erat Melaka dan Pahang sudah terjalin sejak sekian lama dan ia akan terus dieratkan melalui bantuan seperti ini.

“Terima kasih juga buat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali yang mengilhamkan misi bantuan ini. Juga kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung. Hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya,” katanya.

Sukarelawan memunggah barangan keperluan harian dan makanan ke dalam dewan.

Untuk rekod, sukarelawan misi bantuan itu turut disertai wakil Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Selain itu wakil dari MKN Melaka, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Hospital Pakar Putra, Mamee Double-Decker (M) Bhd dan Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri.

MHI pula dipilih sebagai media rasmi misi berkenaan yang diwakili wartawan Mohamad Fazrul Abdul Majid dan juru video Amirul Ramli.

Views:

435
Kongsi :
Previous post Wartawan MHI sayu lihat kesan banjir besar di Pahang
Next post COVID-19: 4,029 kes baharu, angka harian tertinggi setakat ini
Ubah saiz-+=