Sasar 5,000 beg darah seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 16 Jan. – Jabatan Amal Malaysia (JAM) menyasarkan 5,000 beg darah dapat dikumpul seluruh negara bagi meningkatkan bekalan darah diperlukan di hospital negara ini.

Bendahari Pusat JAM, Muhammat Puhat Bedol berkata, sasaran itu diletakkan menerusi program Amal Mega Blood Donation 2021 yang diadakan serentak di seluruh negara sejak semalam.

Katanya, program yang dirancang sejak sebulan lalu itu sekali gus mempertingkatkan kadar darah jenis O, A dan B yang direkodkan semakin kritikal disebabkan faktor penggunaan pesakit pandemik COVID-19 dan kemalangan jalan raya.

“Program terbesar dan pertama kali diadakan menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pusat Darah Negara ini berlangsung serentak di seluruh negara.

“Alhamdulillah program hari ini dapat sambutan baik dengan 200 peserta mendaftar secara atas talian dan 30 individu hadir di kaunter dalam tempoh sejam.

“Pada program diadakan di Terengganu, Selangor dan Johor semalam, 600 beg darah berjaya dikumpul daripada peserta berbilang bangsa biarpun dalam keadaan ada negeri yang dilanda banjir ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Muhammat Puhat menjelaskan penganjur Amal Mega Blood Donation 2021 yang diadakan serentak di seluruh negara sejak semalam, sasar kumpul 5,000 beg darah.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Amal Mega Blood Donation 2021 di Pasar Raya Mydin, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin dan Ketua Sektor JAM Melaka, Muhammad Al Afiz Yahya.

Seorang penderma, Nicole Tan Nio Hui,23, berkata, program derma darah amat bermanfaat dalam membantu meningkatkan bekalan darah yang amat diperlukan pesakit di hospital seluruh negara.

Nicole mula menderma darah sejak 2016.

Pemilik darah jenis O+ itu berkata, dia mula menderma darah sejak 2016 dan menjadikan ibunya yang juga penderma tegar sebagai idola dalam membantu masyarakat.

“Setiap kali melihat program seperti ini saya tidak mahu fikir panjang dan terus mendaftarkan diri bagi menderma darah sebagai tanda amanah saya kepada masyarakat memerlukan.

“Tidak ramai anak muda yang sudi menderma darah kerana rata-ratanya disebabkan takut dengan suntikan jarum sedangkan ia tidaklah sesukar mana pun,” katanya.

1. PROGRAM Amal Mega Blood Donation 2021 di Pasar Raya Mydin MITC menerima sambutan menggalakkan diadakan dengan penuh SOP.

2. TETAMU undangan menyantuni penderma yang memberi sokongan pada program yang diadakan terbabit.

3. PUHAT

4. NICOLE

Views:

627
Kongsi :
Previous post COVID-19: 4,029 kes baharu, angka harian tertinggi setakat ini
Next post RM45 juta dari Tabung COVID-19 diagihkan
Ubah saiz-+=