COVID-19: Melaka catat 5 kematian baharu hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 2 Jun – Kes kematian akibat jangkitan COVID-19 di Melaka terus meningkat dengan pertambahan lima kes hari ini.

Menerusi info grafik dikongsikan Jabatan Kesihatan negeri (JKN) di Facebook rasminya hari ini, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes kematian di Melaka kini meningkat kepada 77 kes.

Menurut JKN lima kematian direkodkan hari ini membabitkan tiga wanita warga emas dan dua lelaki.

Katanya, dua kematian di Alor Gajah membabitkan lelaki berusia 56 tahun di Mukim Melaka Pindah dan wanita berusia 79 tahun dari Mukim Melekek.

“Lelaki itu mempunyai latar belakang penyakit kronik iaitu tekanan darah tinggi, penyakit kolesterol, kencing manis dan buah pinggang dan mendapat jangkitan daripada kontak rapat.

“Wanita warga emas itu turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, sejarah kanser payudara dan sejarah kemalangan yang memerlukan bantuan kerusi roda. Dia disahkan menerima jangkitan dari anaknya,” katanya.

JKN berkata, kematian ketiga melibatkan lelaki berusia 73 tahun dari Mukim Bukit Piatu dan mempunyai kontak rapat kes positif iaitu kakaknya.

“Dua kes lagi membabitkan kematian wanita berusia 77 tahun dari Mukim Klebang Besar yang dijangkiti daripada anaknya dan wanita berusia 32 tahun dari Mukim Krubong yang positif dari kontak rapat iaitu suami dan ibu mentua.

“Kedua-dua mereka tiada latar belakang penyakit kronik,” katanya.

Sementara itu, kes baharu positif COVID-19 di Melaka menunjukkan sedikit penurunan berbanding semalam dengan hanya 209 individu, membabitkan lapan kes import dan selebihnya jangkitan tempatan.

“Melaka Tengah merekodkan kes tertinggi sebanyak 111 diikuti Alor Gajah (64) dan Jasin (34).

“Selain itu, seramai 238 individu direkodkan sembuh manakala 2,193 masih dirawat dengan 72 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 memerlukan bantuan alat pernafasan,” kata JKN.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post Kematian berkaitan COVID-19 mungkin cecah 26,000 kes menjelang September – Kajian
Next post Sempat tawar seks PKP 3.0 ‘lockdown’
Ubah saiz-+=