COVID-19: Muzium antara bangunan kerajaan ditutup hingga Isnin ini

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 17 Feb – Premis dan Muzium dibawah kendalian Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) ditutup kepada semua pelawat bermula 15 hingga hingga 21 Feb.

Penutupan itu dilakukan atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi di premis berkenaan.

Mengikut pemakluman di Facebook Muzium & Galeri Melaka premis ditutup membabitkan bangunan pentadbiran, Kompleks Muzium Sejarah & Etnografi@Stadhuys, Kompleks Muzium Istana Kesultanan Melaka dan Kompleks Muzium Samudera.

Turut ditutup sementara adalah, Bangunan Pengurusan Koleksi, Bangunan Penyelidikan & Dokumentasi/Muzium Rakyat, Kecantikan dan Layang-Layang, Bangunan Pentadbiran@Antikuiti dan Bangunan Balai Gabenor.

Namun Muzium Kapal Selam, Muzium Orang Asli, Hang Tuah Centre dan Galeri Demang Abdul Ghani masih dibuka kepada semua pelawat.

Sementara itu Operasi Melaka One Number Call Centre (ONCC) 06-3333333 juga ditutup sementara bermula jam 3 petang tadi hingga jam 8 pagi Isnin depan.

Pejabat operasi di Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka turut dihentikan bermula semalam hingga Isnin ini juga bagi memberi laluan kepada kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.

Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) turut mengeluarkan arahan penutupan dan pengosongan bangunan pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu bermula esok hingga Isnin bagi kerja sanitasi dan disinfeksi di seluruh ruang kerja.

Pada masa sama, antara sekolah yang ditularkan penutupannya adalah Sekolah Kebangsaan Batu Berendam 1 bermula jam 2 petang semalam sehingga Rabu depan.

Semalam Melaka Hari Ini melaporkan pusat operasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di bangunan Graha Makmur dan Pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) juga ditutup hingga Isnin.

Kenyataan di Facebook Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) pula memaklumkan operasi pejabat-pejabat di dalam Bangunan Menara MITC termasuk pejabat utama PKNM ditutup sementara selama dua hari bermula hari ini hingga Jumaat dan beroperasi semula pada 21 Feb.

Antara pusat tarikan pelancong lain ditutup sebelum ini adalah Zoo Melaka yang menghentikan operasi selama lima hari dari 10 Feb hingga Selasa lalu selepas seorang daripada penjaga haiwan dikesan positif COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1463
Kongsi :
Previous post Pelan hala tuju robotik negara akan dibangunkan – PM
Next post SPRM Melaka tahan bekas pengarah agensi kerajaan disyaki terima rasuah
Ubah saiz-+=