COVID-19: Ujian saringan penduduk Kota Setar ambil masa seminggu
SUNGAI BESAR, 12 Sept. – Ujian saringan COVID-19 terhadap 366,787 penduduk di kawasan Kota Setar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran mulai semalam, dijangka mengambil masa kira-kira seminggu, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Sehubungan itu, beliau meminta semua penduduk terlibat  memberi kerjasama dan hadir di klinik kesihatan berhampiran untuk menjalani ujian berkenaan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) kini giat mengesan kontak rapat Kluster Telaga dan Kluster Sungai. Kami juga melakukan kerja-kerja nyah cemar di premis yang dikenal pasti dikunjungi oleh individu positif COVID-19 daripada kluster berkenaan.
“Kira-kira 100 petugas kesihatan dari daerah lain di Kedah dikerah ke Kota Setar untuk membantu melaksanakan proses itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Selangor di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Dr Noor Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan PKPD secara pentadbiran di Kota Setar yang berkuat kuasa semalam.
Selain itu Dr Noor Azmi berkata pihaknya juga sedang mengatur gerak petugas kesihatan dari negeri lain untuk ke Kedah bagi membantu meringankan beban kerja petugas kesihatan di lokasi berkenaan.
Khamis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar, Kedah selepas mengambil kira peningkatan kes positif COVID-19 membabitkan Kluster Sungai dan Telaga di daerah itu.
Sementara itu mengenai program hari ini, Dr Noor Azmi berkata KKM akan memberikan latihan bantuan kecemasan kepada sukarelawan Kospen bagi menambah nilai peserta terlibat.
“Kami juga akan menilai dari semasa ke semasa untuk menambah baik latihan dan beberapa aspek lain lagi supaya sukarelawan Kospen dapat melaksanakan kerja-kerja mereka dengan lebih berkesan,” katanya.
Kospen merupakan antara inisiatif KKM untuk memperkasakan bidang kesihatan, khusus bagi mencegah dan mengawal faktor risiko penyakit tidak berjangkit dan sukarelawannya berperanan sebagai ejen membentuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.-BERNAMA