COVID: 199 kes baharu libat kategori tiga hingga lima

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Hanya 199 kes atau 0.73 peratus daripada 27,004 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam melibatkan kategori tiga hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata baki 26,805 kes pula terdiri daripada kategori satu dan dua, sekali gus menjadikan kumulatif kes COVID-19 dalam negara sebanyak 3,927,437, manakala sebanyak 29,450 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan kes sembuh kumulatif sebanyak 3,596,453.

“Daripada 199 kes kategori tiga hingga lima, 51 kes melibatkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, 82 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 66 kes telah menerima dos penggalak, 95 kes berumur 60 tahun dan ke atas dan 105 kes mempunyai komorbid,” katanya dalam kenyataan situasi semasa kes COVID-19 negara, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,669 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam, dengan 674 kes atau 40.4 peratus melibatkan kategori tiga hingga lima, manakala 995 kes atau 59.6 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya, sebanyak 373 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 225 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, sekali gus menjadikan peratusan penggunaan ventilator menurun kepada 25 peratus.

Sementara itu, sebanyak lapan negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal (ICU) lebih 50 peratus iaitu Perlis (73 peratus), Kuala Lumpur (70 peratus), Putrajaya (67 peratus), Kelantan (63 peratus), Johor (60 peratus), Selangor (56 peratus), Sarawak (52 peratus ) dan Perak (51 peratus).

Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 negara kini ialah 0.95 dan negeri yang mencatat Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.13.

Negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 ialah Kuala Lumpur (1.10), Terengganu dan Negeri Sembilan (1.04), Putrajaya (1.03), Perak dan Johor (1.02) manakala Pulau Pinang, Selangor dan Melaka (1.01).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post Dua maut, tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas
Next post All England: Zii Jia berhadapan dengan Momota di peringkat suku akhir
Ubah saiz-+=