CSM siasat ketirisan data peribadi pengguna MySejahtera – Fahmi

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Cyber Security Malaysia (CSM) diarah untuk menyiasat laporan berhubung ketirisan maklumat peribadi pengguna aplikasi MySejahtera, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata tindakan lanjut akan dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selepas mendapat laporan lengkap siasatan CSM.

“Berkenaan isu (ketirisan maklumat) MySejahtera… saya sudah minta CSM siasat, meneliti dan memahami siapa yang sebenarnya telah mengakses akaun ‘Super Admin’ bagi aplikasi MySejahtera.

“Dipercayai jumlah data (peribadi) yang sangat banyak mungkin telah dibawa keluar,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendedahkan terdapat 1.12 juta cubaan memecah masuk aplikasi MySejahtera dengan kira-kira tiga juta maklumat pengguna aplikasi itu dilapor diakses secara mencurigakan daripada akaun ‘Super Admin’.

Fahmi berkata dalam isu keselamatan data peribadi, tanggungjawab itu bukan hanya dipikul KKD, sebaliknya ia turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi.

Justeru, katanya terdapat keperluan untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) pada waktu ini berikutan berlakunya banyak kes ketirisan data peribadi.

“Insya-Allah apabila KKD membawa (usul) meminda akta itu (APDP), saya amat berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bersama-sama mengukuhkan perlindungan data peribadi di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, bagi menyelesaikan isu liputan telekomunikasi terutama di pusat bandar dan pinggir bandar, Fahmi berkata beliau telah mengarahkan MCMC menyelesaikan masalah itu menjelang Jun ini.

Fahmi berkata punca gangguan kualiti perkhidmatan selular awam di kawasan itu yang menyebabkan panggilan terputus atau terhalang dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih dengan kelajuan internet yang perlahan adalah disebabkan kerana tiada liputan, liputan yang lemah atau berlaku kesesakan rangkaian.

Katanya, pada 2022, MCMC selesai mengaudit 3,080 lokasi di seluruh Malaysia dan setakat ini, 229 Arahan Suruhanjaya berkaitan kualiti perkhidmatan dikeluarkan kepada pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

“Daripada 229 Arahan Suruhanjaya tersebut, pemberi perkhidmatan telah membuat penambahbaikan melibatkan 157 Arahan Suruhanjaya dan tindakan sivil akan diambil bagi 40 Arahan Suruhanjaya yang telah gagal dipatuhi,” katanya.

Melalui Arahan Suruhanjaya ini, pemberi perkhidmatan wajib melakukan penambahbaikan kualiti perkhidmatan dengan mengoptimumkan atau menaik taraf menara sedia ada agar kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik serta menyediakan menara baharu untuk menambah baik kualiti jaringan jalur lebar.

Fahmi berkata MCMC juga akan membuka kaunter di bangunan Parlimen pada 6 dan 7 Mac ini dan menjemput semua Ahli Parlimen untuk membawa aduan liputan di kawasan masing-masing untuk diteliti suruhanjaya itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Kongsi :
Previous post Empat sekeluarga nyaris maut dalam kemalangan
Next post Melaka mampu capai ‘cashless society’ menerusi ReDI
Ubah saiz-+=