D’ Mutiara hilangkan bosan penerima vaksin

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Ogos – Tidak bosan menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin kerana penerima vaksin dihiburkan dengan persembahan kugiran secara terus.

Pengalaman menarik itu dilalui penerima vaksin pada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Tanjung Bidara, di sini.

Dengan mendengar alunan lagu Melayu asli, joget, irama tahun 1960-an dan 1980-an serta lagu kontemporari, penerima vaksin tidak
bosan menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke tempat suntikan vaksin.

Kugiran D’ Mutiara yang diketuai komposer Amir Atan, 60, dari Semabok, Bandar Melaka, bukan setakat membawa lagu Melayu asli
yang dihiasi dengan pantun tradisional pusaka bangsa, malah lagu malar segar seperti dipopularkan oleh Jamal Abdillah dan kumpulan Alleycats.

 

KUGIRAN D’ Mutiara dendangkan lagu baru dan malar segara.

Amir berkata, kumpulan yang dianggotai empat anak lelaki dan seorang anak perempuannya yang berusia antara 19 hingga 25 tahun,
dijemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Wira Md Rawi Mahmud untuk membuat persembahan.

“Saya diminta menghiburkan hadirin dengan lagu Melayu asli warisan nenek moyang kita dan bagi mengelakkan orang ramai bosan
dengan lagu seumpama itu, kami bawakan juga lagu moden.

“Tujuan kami bukan untuk bersuka ria, sebaliknya untuk mengisi kekosongan ruang yang ada sementara penerima vaksin mendaftar,
menunggu giliran untuk menerima suntikan dan sehingga mereka beredar dari dewan ini,” katanya ketika ditemui di dewan itu hari
ini.

Seramai 2,000 penerima vaksin dijadualkan menerima vaksin melalui Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan dan JAPERUN Tanjung Bidara.

Program selama empat hari mulai semalam itu menyediakan pelang untuk 500 penerima diberikan suntikan sehari bagi meningkatkan
kemampuan pemberian vaksin mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Penerima vaksin, Mohd Rahmad Mustafa, 54, berkata dia terhibur mendengar persembahan pelbagai genre lagu, terutama lagu tahun
1980-an yang menjadi kegemarannya semasa dia masih remaja.

“Bukan selalu kita boleh mendengar persembahan muzik dan lagu daripada kugiran secara terus atau ‘live’ seperti yang ada di sini
dan saya gembira menikmatinya,” katanya.

Rogayah Abdul Hamid, 57, berkata dia terhibur mendengar alunan lagu Melayu asli yang dinyanyikan oleh Amir sebagai usaha
mempertahankan kekayaan seni dan budaya bangsa.

“Generasi sekarang tidak suka lagu Melayu asli dan menyebabkan lagu itu kian luput ditelan zaman tetapi dengan adanya kugiran
seumpama itu, insya-Allah irama Melayu asli kekal dalam khazanah budaya bangsa kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post Exco kesihatan Kedah positif COVID-19, jalani kuarantin di rumah
Next post Penat memandu 240 kilometer bukan penghalang isteri terima vaksin
Ubah saiz-+=