Penat memandu 240 kilometer bukan penghalang isteri terima vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Ogos – Seorang lelaki sanggup memandu sejauh 240 kilometer dari Kuala Rompin, Pahang ke Kampung Londang, demi memastikan isterinya mendapat suntikan vaksin.

Mohd Sabri Husssin, 55, tidak menghiraukan kepenatan dengan memandu di laluan Jalan Persekutuan dan negeri tanpa lebuh raya dari kediamannya di Kampung Janglau, Kuala Rompin ke tempat asal Azizah di Kampung Londang, di sini.

MOHD SABRI.

“Saya terpaksa mendapatkan surat kebenaran merentas negeri daripada polis dan alhamdulillah, tiba di Kampung Londang pada jam 3.30 petang semalam selepas memandu selama empat jam.

“Saya sendiri sudah sempurna terima dua dos vaksin di Kuala Rompin tetapi isteri, Azizah Jantan, 55, belum dapat vaksin,” katanya ditemui pada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di JAPERUN Tanjung Bidara, di sini hari ini.

Azizah yang juga guru berkata, dia mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi My Sejahtera tiga bulan lalu tetapi masih belum
menerima janji temu suntikan vaksin.

“Alamat MyKad saya di Kampung Londang, jadi apabila diberitahu oleh saudara mara di sini ada program pemberian vaksin di JAPERUN Tanjung Bidara, saya terus mendaftar atas talian.

“Saya tidak mahu menunggu lebih lama lagi untuk mendapatkan vaksin kerana bimbang jumlah pesakit COVID-19 semakin meningkat
dari semasa ke semasa,” katanya.

Dia berkata, sejak mendaftar dengan MySejahtera, dia tidak putus berdoa agar diberikan peluang untuk menerima suntikan secepat mungkin tetapi rezekinya belum ada untuk dipilih sebagai penerima vaksin.

Penerima vaksin yang lain, Sulaiman Mohd Ali, 37, berkata dia juga sudah lebih tiga bulan mendaftar melalui MySejahtera tetapi masih belum dipanggil menghadiri janji temu.

Bagaimanapun penantiannya berakhir apabila dipanggil menghadiri janji temu menerima vaksin hari ini manakala isteri, Faridah Abdul Ghani, 34, dijadualkan menerimanya esok.

“Alhamdulillah, penantian sejak tiga bulan lalu tamat hari ini dan saya amat bersyukur dipilih sebagai penerima bagi memastikan
sistem pertahanan antibodi tubuh saya mampu melawan virus berbahaya itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post D’ Mutiara hilangkan bosan penerima vaksin
Next post Menteri kabinet diminta buktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari
Ubah saiz-+=