Exco kesihatan Kedah positif COVID-19, jalani kuarantin di rumah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman disahkan positif COVID-19 semalam.

Menurut laporan Sinar Harian, beliau mengalami gejala batuk dan demam selepas menyertai misi bantuan di kawasan tragedi banjir kepala air di kaki Gunung Jerai, Yan, Kedah minggu lalu.

Hasil ujian saringan COVID-19 kelmarin mendapati beliau dijangkiti virus itu dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Saya tidak pasti sama ada dijangkiti dari kawasan Yan kerana selepas pulang dari program pada Sabtu, saya mulai batuk dan demam keesokannya (Ahad).

“Sebelum mesyuarat Exco, saya ada lakukan ujian saringan dan dipakaikan gelang merah jambu.

“Pagi tadi (semalam), saya dihubungi pihak kesihatan dan mereka maklumkan saya positif COVID-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dr Mohd Hayati berkata, ketika menyertai misi itu segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik selain sentiasa memakai pelitup muka sepanjang masa, malah makan di tempat berasingan.

“Saya berada pada kategori dua dan menjalani kuarantin di rumah, namun akan hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini keadaan kesihatan saya semakin baik apabila tahap oksigen berada pada paras antara 96 dan 97 peratus,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak yang berada di lokasi bencana di Yan atau Merbok terutama pasukan yang menjalankan misi bantuan supaya sentiasa mematuhi SOP bagi mencegah sebarang perkara tidak diingini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

981
Kongsi :
Previous post COO PLUS antara penerima Darjah kebesaran Melaka
Next post D’ Mutiara hilangkan bosan penerima vaksin
Ubah saiz-+=