Dadah lebih RM92,000 dirampas dalam tempoh 3 hari

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

ALOR GAJAH 2 Dis – Dadah bernilai lebih RM92,000 berjaya dirampas pasukan polis dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah Alor Gajah, dalam tempoh tiga hari.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, selain merampas lebih 2 kilogram dadah pelbagai jenis pasukan polis juga berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di daerah itu.

Beliau berkata, operasi selama tiga hari yang dijalankan pada 25, 26 dan 30 November itu hasil kerjasama antara Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Alor Gajah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Trafik Alor Gajah.

“Dalam operasi itu seramai enam individu termasuk seorang wanita berusia antara 27 hingga 55 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Tangkapan pertama dilakukan keatas suspek lelaki berusia 55 tahun di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Taman Mutiara dan merampas 28 paket dadah dipercayai Heroin termasuk Syabu serta 30 biji pil Eramin 5 yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM29,850,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat suspek pertama, polis kemudian ke lokasi kedua di sebuah rumah di Taman Melaka Perdana dan merampas 15 paket dadah dipercayai Heroin berjumlah RM17,500.

“Pada hari berikutnya polis berjaya menahan suspek lelaki berusia 29 dan 32 tahun di tepi jalan Melaka Perdana dan merampas lima paket dadah dipercayai Syabu dan Heroin dengan anggaran nilai RM39,850.

“Suspek ketiga berusia 30 tahun pula ditahan pada Selasa di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah dan merampas dua paket dadah disyaki Heroin dengan berat kira-kira 24 gram dan dianggarkan bernilai RM1,240,” katanya.

Menurut Arshad, dua suspek terakhir termasuk wanita berusia 27 dan 38 tahun dibuat dalam sebuah kereta di Taman Seruling Jaya, dan turut ditemui bersama mereka enam paket dadah dianggarkan berjumlah RM4,400.

“Hasil risikan dan soal siasat dijalankan mendapati aktiviti pengedaran dadah ini dipercayai sudah bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini dan disyaki untuk kegunaan pasaran tempatan selain dadah dirampas ini boleh digunakan untuk kira-kira 30,000 penagih.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati empat daripada enam ditahan positif dadah dan kesemua mereka turut didapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

813
Kongsi :
Previous post Kerajaan utamakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing
Next post Dua kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Simpang Pulai-Cameron Highlands
Ubah saiz-+=