Sorting by

×

Daging segar masih rebutan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

LENDU 3 Mei – Walaupun hari ini sudah masuk hari kedua sambutan perayaan Aidilftiri, masih ada masyarakat setempat berusaha mendapatkan daging akibat terlepas untuk memilikinya semalam.

Tinjauan di Pasar Awam Masjid Tanah di sini hari ini mendapati, orang ramai masih membeli daging segar selepas tidak berbuat demikian kelmarin kerana menjangka hari raya disambut pada hari ini dan bukannya semalam.

Pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Mat berkata, dia terlepas untuk mendapatkan daging kelmarin kerana hanya bercadang mendapatkannya semalam.

“Kelmarin saya tidak beli daging kerana menjangka Aidilfitri disambut hari ini tetapi Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam menyambut Aidilfitri semalam.

“Oleh itu, hari ini saya mendapatkan daging segar kerana semalam pasar ini ditutup, selain tiada peniaga menjual daging di bawah khemah di tepi jalan,” katanya ketika ditemui di pasar itu.

Abdul Karim Mat Jadi, 49, berkata dia juga tidak berpeluang mendapatkan daging semalam kerana menjangka hari pertama Aidilfitri pada hari ini.

Bagaimanapun, sejurus selepas pengumuman Aidilfitri, dia sempat mendapatkan daging sejuk beku di sebuah pasar raya di pekan ini malam kelmarin.

“Alhamdulillah pada hari pertama Aidilfitri semalam, saya sekeluarga menikmati rendang daging tetapi bukan daging segar, ebaliknya daging import,” katanya.

Peniaga daging, Mohd Akmal Mohamad, 31, berkata hari ini dia menyembelih seekor lembu kerana menjangka masih ada permintaan terhadap daging walaupun sudah masuk hari kedua Aidilfitri.

“Nasib baik kami tidak sembelih lembu petang kelmarin untuk dijual pagi semalam dengan jangkaan raya pertama jatuh hari ini dan jika ia berlaku, sudah pasti kami menanggung kerugian kerana tiada pelanggan mencari daging pada raya pertama.

“Kami bersyukur kerana terselamat daripada menanggung kerugian dan subuh tadi kami sembelih seekor lembu untuk dijual hari ini,” katanya.

Dia berkata, jangkaannya tepat apabila sejurus sahaja kedainya dibuka jam 7 pagi tadi, ia diserbu pelanggan yang tidak berpeluang mendapatkan daging semalam.

Katanya, harga daging bagaimanapun masih kekal RM39 sekilogram seperti kelmarin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1547
Kongsi :
Previous post Bumbung balai nelayan sekali lagi diterbangkan angin kencang
Next post Untung tinggi punca penyeludupan rokok berterusan
Ubah saiz-+=