Bumbung balai nelayan sekali lagi diterbangkan angin kencang

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Mei – Sekurang-kurangnya 20 bumbung di Balai Nelayan Kampung Pengkalan Balak, diterbangkan angin kencang awal pagi ini buat kali kedua selepas kali terakhir berlaku kejadian sama enam bulan lalu .

Dalam kejadian antara jam 4 hingga 6 pagi tadi, sebahagian besar bumbung bangunan berkenaan diterbangkan angin kencang yang dikenali dalam kalangan nelayan sebagai ‘angin barat.’

Ketua nelayan di balai itu Najib Senin, 70, berkata dia terkejut apabila mendapati bumbung zink berkenaan sudah hilang sejurus tiba di balai itu jam 7.30 pagi ini.

“Sejak petang semalam angin barat sudah turun dan ia menjadi bertambah kencang menjelang tengah malam.

“Saya percaya bumbung itu diterbangkan angin antara jam 4 hingga 6 pagi kerana ketika itu saya yang berada di rumah sudah bangun dan mendengar deruan angin yang cukup kuat,” katanya ketika ditemui di balai itu di sini pagi ini.

Dia berkata, berikutan kejadian itu, enjin motor sangkut dan peralatan menangkap ikan yang ditempatkan di bilik yang bumbungnya sudah tiada, terpaksa dipindahkan ke tempat yang masih berbumbung.

Katanya, kebanyakan bumbung bangunan itu sudah reput sejak dua tahun lalu dan menunggu masa untuk tertanggal atau jatuh satu demi satu.

Setiap kali hujan lebat atau ribut melanda, dia dan kira-kira 20 nelayan lain terpaksa mencari tempat berlindung di sudut balai yang jauh dari kawasan bumbung yang sudah uzur.

“Setiap kali hujan lebat, kami terpaksa berlindung di tempat yang bumbungnya tidak bocor kerana jika kami tunggu, kami akan basah kuyup akibat hujan dan tempias.

“Keadaan ini menyukarkan kami untuk membuat kerja menyirat (menjahit) jaring atau pukat yang rosak atau menjalankan kerja penyelenggaraan enjin motor sangkut,” katanya.

Dia berkata, dalam kejadian ribut kira-kira enam bulan lalu, sebahagian kecil daripada bumbung diterbangkan angin.
Najib mendakwa, nelayan sudah beberapa kali memohon Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), iaitu pemilik balai berkenaan untuk menjalankan kerja pembaikan.

“Kami amat berharap LKIM boleh menyegerakan kerja pembaikan bumbung dan beberapa kerosakan lain pada bangunan yang dibina kira-kira 17 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, sumber LKIM negeri mengesahkan sudah menerima permohonan nelayan terbabit dan usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan peruntukan kerja pembaikan bumbung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

929
Kongsi :
Previous post Balik kampung: Beberapa lokasi lebuh raya arah timur sesak
Next post Daging segar masih rebutan
Ubah saiz-+=