Dana RM5 bilion daripada KWAN bagi percepat pemerolehan vaksin

Masa Membaca:3 Minit, 41 Saat

PUTRAJAYA 26 April. – Sebanyak RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) akan digunakan untuk mempercepatkan pemerolehan vaksin COVID-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, KWAN memiliki dana RM19.5 bilion setakat 31 Dis 2020, merangkumi sumbangan Petronas sebanyak RM10.4 bilion dan baki RM9.1 bilion daripada pulangan pelaburan terkumpul.

Di bawah Seksyen 6, Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 (Akta 339) membenarkan dana KWAN digunakan selepas tempoh 10 tahun bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dan membiayai pinjaman mudah kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, katanya.

“Penggunaan dana KWAN hanya dihadkan untuk memperoleh vaksin dan bukan untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan di bawa undang-undang.

“Anggaran RM5 bilion untuk pemerolehan vaksin hanyalah menggunakan pelaburan yang dijana (RM9.1 bilion) tetapi jumlah pokok sumbangan RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan,” katanya dalam sidang media bagi menjelaskan isu dana KWAN di sini hari ini.

Pada 21 April lalu, kerajaan telah meluluskan pindaan ke atas Akta 339 yang membolehkan dana daripada KWAN digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin, melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Tengku Zafrul berkata ia bertujuan mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan agar dapat mencapai imunisasi kelompok secepat mungkin pada hujung tahun ini berbanding sasaran asal pada Februari 2022.

Beliau berkata penggunaan dana KWAN bukanlah kali pertama digunakan kerajaan kerana sebelum ini dana yang sama berjumlah RM42 juta digunakan bagi projek Paya Indah Wetlands.

Beliau berkata tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber-sumber asli negara yang stabil untuk faedah negara dan generasi akan datang.

“Kitalah masa depan yang dimaksudkan semasa dana ini ditubuhkan. Kalau kita tidak boleh guna dana KWAN, sampai bila-bila pun generasi akan datang tidak boleh menggunakannya,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, semasa pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan mengunjurkan kos mendapatkan bekalan vaksin untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia melebihi RM3 bilion namun kos itu tidak termasuk dalam jumlah peruntukan RM322.5 billion seperti dalam Belanjawan 2021.

Namun demikian, katanya di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan mengumumkan kenaikan peruntukan bagi program imunisasi kepada RM5 bilion daripada RM3 billion untuk mempercepat sasaran imunisasi berkelompok.

Beliau berkata peningkatan implikasi kewangan berbangkit apabila kerajaan menyasarkan Program Pemberian Vaksin (PPV) selesai lebih awal iaitu pada Disember 2021 berbanding Februari 2022.

Ia termasuk untuk tujuan pembelian stok penimbal daripada pelbagai pembekal, keperluan vaksin tambahan bagi suntikan penggalak untuk individu yang memerlukan dos tambahan bagi imuniti, penyumberluaran kepada pengamal perubatan swasta, sewaan premis PPV dan elaun sukarelawan, katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu menggunakan dana KWAN dan bukan membuat pinjaman kerana negara kini mewarisi lebih RM1 trilion pinjaman dan liabiliti kerajaan, termasuk menjamin pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) untuk perbelanjaan luar kunci kira-kira.

“Sekiranya kos vaksin RM5 bilion tidak digunakan daripada dana KWAN, keperluan meminjam kerajaan adalah jauh lebih tinggi dan sasaran defisit mungkin akan meningkat kepada 6.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Dengan keberhutangan yang diwarisi, Tengku Zafrul berkata kerajaan sudah meminjam hampir ke siling statutori 60 peratus dan dalam usaha untuk menangani krisis COVID-19, kerajaan tiada pilihan selain daripada mengoptimumkan dana sedia ada seperti KWAN.

Beliau berkata kerajaan pada masa ini bukan sahaja memiliki ruang fiskal yang terhad untuk memenuhi obligasi legasi tetapi juga menghadapi kekangan kewangan dalam menangani krisis COVID-19.

“Kita juga tidak mahu membebankan generasi hadapan dengan beban hutang yang berlebihan dan tidak wajar. Kerajaan bertanggungjawab menjaga generasi masa kini kerana sekiranya generasi kini terjejas, belum tentu generasi akan datang dapat mengecapi kemakmuran,” katanya.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pemulihan jangka pendek dengan kelestarian jangka panjang perlu diimbangi, katanya.

“Kesejahteraan rakyat adalah tumpuan utama kerajaan, namun kerajaan mempunyai ruang fiskal yang terhad,” katanya.

Tengku Zafrul berkata krisis yang dihadapi negara ketika ini bukan krisis ekonomi seperti tahun 1998 dan 2008 tetapi adalah “krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak”.

Beliau berkata kerajaan juga komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis itu berakhir dan kewangan kerajaan kembali kukuh.

“Rancangannya ialah untuk menambah lagi. (Pada masa ini) Petronas ialah penyumbang tunggal, sepatutnya Petronas bukanlah penyumbang tunggal kerana KWAN boleh juga menerima dana daripada sumber-sumber lain.

Diharap jika kumpulan lain yang sepatutnya menyumbang, menyumbang kepada KWAN, kami akan dapat menambahnya dengan segera. Siapakah kumpulan ini? Mereka yang mendapat manfaat daripada hasil sumber-sumber asli dalam negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post Sekatan sementara penerbangan keluar masuk dari India mulai 28 April
Next post PdPR dua minggu selepas cuti Aidilfitri- Radzi Jidin
Ubah saiz-+=