DAP sedia hadapi PRN biarpun bantah bubar DUN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDAR MELAKA 18 Okt. – Walaupun tidak setuju Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, DAP Melaka bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Pengerusinya, Datuk Tey Kok Kiew berkata, walaupun tidak setuju dengan tindakan pemimpin UMNO memohon Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam membubarkan DUN awal bulan ini, DAP tidak akan lari daripada tanggungjawab untuk menghadapi PRN.

“DAP tidak setuju UMNO memohon pembubaran DUN tanpa mengambil kira pandemik COVID-19 yang menyebabkan penduduk Melaka menghadapi risiko.

“Bagaimanapun, kami akan menghadapi PRN bagi menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan parti yang akan memerintah negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, DAP meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pengundi di luar negara dan mereka yang bekerja di luar Melaka mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa membebankan mereka.

Selain itu, DAP juga menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SPR menyediakan pelan kempen dan pengundian yang berkesan dalam usaha mengelak penularan pandemik berbahaya itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DAP menang semua lapan kerusi DUN ditandingi manakala PKR bertanding tujuh kerusi tetapi menang tiga dan Parti Amanah Negara (AMANAH) bertanding enam kerusi tetapi menang dua.

BERSATU yang ketika itu adalah komponen PH, bertanding tujuh kerusi tetapi menang dua kerusi.

Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 28 kerusi DUN tetapi hanya menang 13 kerusi, berbanding 21 kerusi pada PRU-13.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post PRN Melaka keputusan tergesa-gesa
Next post SPR nafi tetapkan vaksinasi lengkap pengundi pemilih
Ubah saiz-+=