Dasar Perhutanan Malaysia satukan semua negeri dalam melestarikan perhutanan

Masa Membaca:3 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR 21 Mac . – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan hari ini menyaksikan penyatuan julung kali semua negeri di Malaysia dalam bidang perhutanan negara yang menjangkau usia 120 tahun.

Perdana Menteri berkata semua negeri bersetuju menerima dasar itu yang menggariskan hala tuju jelas sektor perhutanan dalam mendepani cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa pada mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 yang diadakan 29 Januari lepas.

“Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perhutanan Malaysia ini adalah dasar kita bersama. Kita semua harus bertindak dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosioekonomi negara.

“Saya berharap agar usaha bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan kelima-lima objektif Dasar Perhutanan Malaysia akan terus padu bagi mencapai sasaran yang dihasratkan,” katanya.

SIMBOLIK… Muhyiddin turut menanam pokok spesies sangat terancam iaitu pokok resak atau nama saintifiknya Vatica yeechongii. Foto- tangkap layar video di Facebook KeTSAMalaysia

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum melancarkan Dasar Perhutanan Malaysia bersempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, manakala menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri menyertainya secara maya.

Muhyiddin yang mengakui pembangunan tidak dapat dielakkan bagi Malaysia mencapai hasrat menjadi negara maju, turut berkata kerajaan amat serius berhubung pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan berkekalan dalam melaksanakan program pemuliharaan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, pelbagai usaha diambil bagi memenuhi komitmen yang diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi pada 1992 di Rio de Janeiro, Brazil dengan mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti dalam pembangunan negara

“Daripada keseluruhan kawasan berhutan di Malaysia, hanya 1.7 peratus adalah kawasan hutan terosot. Sejak 2016, seluas 1,859 hektar kawasan terosot dipulihkan dengan peruntukan sebanyak RM152.82 juta,” katanya.

Perdana menteri berkata kos bagi mengekalkan dan memelihara kawasan hutan negara yang merangkumi 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar daripada keluasan keseluruhan negara, adalah sangat besar dan dianggarkan RM6 bilion diperlukan untuk tujuan itu.

Sehubungan itu, katanya pelbagai instrumen kewangan khusus diwujudkan termasuk Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional, Tabung Amanah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan di bawah kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia dan terbaharu Malaysia Forest Fund (MFF) yang ditubuhkan tahun lalu.

Muhyiddin berkata melalui MFF, negara dijangka menerima dana sebanyak US$100 juta dalam tempoh tujuh tahun akan datang yang akan disalurkan kepada kerajaan negeri untuk tujuan konservasi hutan termasuk perhutanan sosial bagi meningkatkan taraf sosioekonomi Orang Asli dan komuniti setempat.

Katanya berdasarkan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Malaysia adalah antara 25 negara sedang membangun yang mempunyai litupan hutan yang tinggi dan kegiatan penyahutanan yang rendah.

Perdana menteri turut melahirkan penghargaan terhadap komitmen yang ditunjukkan kerajaan-kerajaan negeri dalam mewartakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar iaitu Hutan Simpanan Kekal, kawasan perlindungan, Rizab Hidupan Liar dan kawasan berkepentingan antarabangsa.

Pada masa sama, beliau menyeru kerajaan-kerajaan negeri meningkatkan usaha mewartakan dan mengekalkan kawasan-kawasan berhutan, terutama kawasan koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) dan Heart of Borneo (HoB).

“Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang sedang dimuktamadkan turut memberi penekanan kepada CFS bagi menjamin kesinambungan landskap hutan menerusi penubuhan koridor ekologi baharu.

“Pendekatan ini berupaya mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta membolehkan pergerakan bebas hidupan liar, khususnya spesies-spesies ikonik negara yang diancam kepupusan,” katanya.

Menyentuh mengenai spesies terancam, Muhyiddin menyeru kerajaan negeri mewartakan kawasan habitat harimau Malaya sebagai Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Hidupan Liar di negeri masing-masing.

Katanya beliau risau jika tindakan luar biasa itu tidak dilakukan sekarang negara pasti akan kehilangan spesies ikonik terutamanya harimau Malaya buat selama-lamanya.

Terdahulu, Muhyiddin menanam pokok resak atau nama saintifiknya Vatica yeechongii yang dinamakan bersempena mendiang Chan Yee Chong (1946-2013), pakar pengecaman pokok hutan, sebagai simbolik pelancaran dasar itu dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

667
Kongsi :
Previous post Zii Jia mara ke final All England
Next post Ketua Menteri sertai Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia
Ubah saiz-+=