
DEBAT PIALA KETUA MENTERI BENTUK MAHASISWA BERFIKIRAN KRITIS
SERI NEGERI 24 September – Mahasiswa perlu mempunyai keupayaan menilai kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau membuat kesimpulan, terutama dalam berdepan lambakan kandungan yang mudah tersebar menerusi media sosial.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemahiran berfikir secara kritis dan matang penting bagi membolehkan golongan muda menilai fakta, melihat sesuatu isu daripada pelbagai sudut serta menghormati perbezaan pandangan.
Katanya, perkara itu antara nilai yang boleh dibentuk menerusi Pertandingan Debat Piala YAB Ketua Menteri Melaka 2026 yang julung kali dianjurkan.
“Anak muda hari ini bukan sahaja perlu pantas mendapatkan maklumat, tetapi mesti pandai menilai maklumat. Jangan cepat percaya hanya kerana sesuatu perkara itu tular.
“Jangan cepat membuat kesimpulan hanya kerana kita mendengar satu sisi cerita dan jangan pula menolak sesuatu pandangan hanya kerana ia datang daripada orang yang berbeza pandangan dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Debat Piala YAB Ketua Menteri Melaka 2026 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, penganjuran edisi sulung pertandingan itu perlu dilihat daripada sudut lebih besar kerana debat bukan sekadar menentukan peserta yang paling petah berhujah atau hebat membalas hujah.
Sebaliknya, katanya, debat melatih peserta melihat sesuatu isu daripada pelbagai sudut, mencari fakta, membina hujah berasaskan maklumat serta menghormati pandangan yang berbeza.
“Nilai terbesar pertandingan seperti ini bukanlah sekadar piala yang dibawa pulang, tetapi pengalaman, keyakinan untuk berdiri, keberanian untuk bertanya dan disiplin mencari fakta.
“Lebih penting, peserta belajar bahawa orang yang tidak bersetuju dengan kita bukan semestinya musuh,” katanya.
Penganjuran pertandingan berkenaan menghimpunkan 14 pasukan daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Melaka dan berlangsung selama dua hari di Auditorium Seri Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


