PESARA ‘TIANG SERI’ PEMBANGUNAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 24 September – Golongan pesara perkhidmatan awam Negeri Melaka disifatkan sebagai antara ‘tiang seri’ yang turut menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri menerusi pengalaman serta khidmat yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, persaraan bukan noktah kepada khidmat seseorang penjawat awam, sebaliknya pengalaman dan sumbangan yang ditinggalkan boleh menjadi pedoman kepada generasi penjawat awam yang masih berkhidmat.

“Saya amat tersentuh dan terharu kerana mereka yang telah bersara ini sebahagian daripada tiang seri yang bersama-sama dengan saya memajukan negeri Melaka.

“Jadi, majlis penghargaan ini amat bermakna kepada saya kerana persaraan tidak semestinya menghentikan sebuah perkhidmatan, tetapi jasa ini akan menjadi kenangan serta pedoman kepada generasi penerus untuk terus berkhidmat dengan lebih baik dan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azrem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; wakil pesara Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 Datuk Wira Azhar Arshad serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, Ab Rauf menyampaikan sumbangan berjumlah RM24,600 kepada 41 pesara Perkhidmatan Awam Negeri Melaka, manakala RM2,800 lagi disampaikan kepada lapan waris pegawai yang telah kembali ke rahmatullah ketika masih dalam perkhidmatan.

Beliau berkata, pengalaman yang dimiliki golongan pesara terlalu bernilai untuk terhenti selepas mereka meninggalkan perkhidmatan.

Menurutnya, pengalaman itu sebaliknya boleh terus dimanfaatkan sebagai panduan kepada penjawat awam baharu dalam melaksanakan amanah serta menghadapi cabaran pentadbiran.

“Jasa yang telah dicurahkan akan terus dikenang dan menjadi pedoman kepada generasi penerus untuk menjalankan amanah dengan lebih baik.

“Inilah penghargaan yang kita berikan sebagai tanda terima kasih atas segala khidmat dan pengorbanan mereka kepada Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

294
Kongsi :
Previous post IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAKA CIPTA SEJARAH, JUARA DEBAT PIALA KETUA MENTERI
Next post DEBAT PIALA KETUA MENTERI BENTUK MAHASISWA BERFIKIRAN KRITIS