‘Derita’ 17 keluarga mangsa banjir bakal berakhir

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TABOH NANING 18 Okt. – ‘Derita’ 17 keluarga yang kediaman mereka sering dinaiki air setiap kali cuaca hujan akan berakhir apabila bakal dipindahkan ke penempatan baharu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, keputusan itu diambil pihaknya bagi menyelesaikan masalah penduduk Kampung Taboh Naning dan Cerana Putih yang sebelum ini perlu berhadapan dengan banjir enam kali setahun.

Beliau berkata, pemasalahan itu tidak akan selesai dengan hanya turun padang memberi bantuan setiap kali berlakunya banjir.

“Lokasi disitu tidak sesuai walaupun dibersihkan dan apabila hujan banjir akan berlaku ditambah pula dengan fenomena yang tidak menentu kini.

“Saya sudah berbincang dengan Pegawai Daerah untuk kenal pasti beberapa kawasan dan keutamaan akan diberikan kepada mangsa banjir yang kerap,” katanya.

Beliau berkata, proses pemindahan 17 keluarga itu ke penempatan baharu dijangka akan dilakukan dalam kadar segera.

“Mereka ini bakal dipindahkan ke tanah milik kerajaan yang sudah dikenal pasti dan proses pemindahan itu diharap akan dipermudahkan.

“Keutamaan diberikan kepada mangsa yang kediaman kerap dinaiki air yang akan dipindahkan terlebih dahulu dan akan dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman turut memaklumkan terdapat 10 pintu gerai baharu berhadapan Japerun Taboh Naning yang sudah siap dibina akan membantu meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat.

“Peniaga yang akan berniaga di gerai itu sudah dikenal pasti oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) melalui sesi temuduga dijalankan.

“Dengan adanya premis itu diharap mereka akan berniaga dan dapat membantu orang kampung meningkatkan ekonomi dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Views:

384
Kongsi :
Previous post Tarik ramai pengunjung ke Kolam Air Panas Cherana Putih
Next post Terima kasih ‘KM’ sudi melawat
Ubah saiz-+=