Derita banjir kilat penduduk kini berakhir

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BUKIT BARU 12 September – Penduduk di Taman Harta Pertama, di sini, yang sebelum ini dibelenggu masalah banjir kilat dapat menarik nafas lega apabila masalah yang berlarutan itu kini berakhir.

Ia selepas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membina sebuah parit monsun sepanjang 300 meter di lokasi tersebut.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, parit monsun itu dibina dengan kos berjumlah RM 625,100 setelah melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk di taman berkenaan dan menjanjikan jalan penyelesaian terbaik

“Alhamdulillah, pada pertemuan saya dengan penduduk kali ini, saya dapat maklum balas positif yang mana mereka lega apabila hujan lebat ia tidak lagi memberi kesan (banjir) seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Ini merupakan sebahagian janji saya dalam memastikan Bandaraya Melaka kekal menjadi bandaraya bahagia yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Projek Naik Taraf Perparitan Monsun di Taman Harta Pertama, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal memaklumkan, bermula awal tahun ini, MBMB telah mengatur gerak kerja di 15 lokasi ‘hotspot’ banjir kilat dengan kos keseluruhan berjumlah RM4.28 juta.

Menurutnya, MBMB akan terus mengenal pasti senarai kawasan yang perlu diutamakan bagi kerja-kerja menaik taraf parit seperti pembinaan parit monsun yang dilihat antara kaedah terbaik mengatasi banjir kilat yang kerap berlaku.

“Bagi saya, fenomena-fenomena yang berlaku sejak kebelakangan ini menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih peka terhadap langkah-langkah pencegahan selain mengambil tindakan segera bagi mengatasi kesusahan rakyat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2209
Kongsi :
Previous post Juruterbang helikopter yang hilang ditemukan mati
Next post Polis sahkan suspek mati mengejut dalam tahanan
Ubah saiz-+=