Didik orang ramai hindari jenayah siber

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SERI NEGERI 21 Jun – Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Melaka berusaha mendidik orang ramai untuk menghindari diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Pengerusinya, Datin Wira Siti Rohaya Kamaludin berkata, ia berikutan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah sehingga ramai menjadi mangsa jenayah itu.

Katanya, berdasarkan laporan media, trend jenayah komersil masa kini menjurus kepada jenayah penipuan yang menggunakan medium siber.

“Modus operandi sering digunakan penjenayah siber adalah melalui pembelian barangan menerusi internet, pembungkusan (parcel) dan taktik penyamaran di laman sosial.

“Justeru, menjadi tanggungjawab bersama PUSPANITA Melaka untuk mendidik dan meningkatkan pengetahuan orang ramai terutama ahli-ahli sendiri daripada menjadi mangsa jenayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar “Jadi Wanita Bijak 3.0” anjuran Biro ICT & Media PUSPANITA Melaka di Auditorium Seri Negeri di sini, semalam.

Ujarnya, masih ramai rakyat di negara ini tidak mengamalkan penggunaan teknologi dengan beretika dan bertanggungjawab.

“Jadi saya amat menggalakkan kerjasama secara berpasukan dengan mana-mana agensi kerajaan yang dapat membantu program dan aktiviti PUSPANITA seperti ini.

“Dengan perkongsian pintar ini bukan sahaja dapat memanfaatkan kepakaran yang ada daripada agensi berkaitan, malah membantu mendapatkan tajaan kepada perbelanjaan penganjuran program.

“Terima kasih kepada Biro Media & ICT kerana memberi kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat secara langsung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1220
Kongsi :
Previous post Ajal dirempuh motosikal elak pemotong rumput
Next post Agong, Permaisuri berangkat tunai haji
Ubah saiz-+=