DMDI dan ADUN Pantai Kundor bawa pulang tiga rakyat Malaysia ditahan di Indonesia

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

PANTAI KUNDOR: Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan akan membawa pulang tiga rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bengkalis, Ahad ini.

Kedua-dua pihak berkenaan sedang berusaha mendapatkan bantuan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia untuk berurusan dengan pihak Kantor Imigrasi Kelas II TPI Bengkalis, Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Republik Indonesia bagi merealisasikan usaha itu.

Ahli Lembaga Pengarah yang juga bekas Setiausaha Agung DMDI, Datuk Abu Bakar Abdul berkata, Nor Azman menyediakan peruntukan bagi diserahkan kepada pihak Kantor Imigrasi Kelas II TPI Bengkalis.

“DMDI dan Datuk (Nor Azman) sudah melakukan pelbagai usaha sejak minggu lalu untuk membawa pulang dua nelayan dari Pantai Kundor, Tanjung Kling yang hanyut hingga Pulau Rupat dekat Bengkalis minggu lalu.

“Seorang remaja lelaki berusia 21 tahun dari Batu Berendam yang ditahan di Depoh Imigrasi di Bengkalis sejak hujung tahun lalu juga akan dibawa pulang dengan pembiayaan ADUN Pantai Kundor,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Muhammad Faizul Hakimie dikatakan melancong ke Bengkalis hujung tahun lalu dan ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana tinggal lebih masa.

Sementara itu, Nor Azman berkata, Konsulat Malaysia di Medan, Indonesia sudah mengambil langkah bekerjasama dengan pihak berkuasa republik berkenaan untuk membawa pulang ketiga-tiga lelaki terbabit.

“Keseluruhan kos yang perlu dijelaskan kepada Imigrasi Indonesia, termasuk penginapan mereka di Bengkalis sebelum pulang dan setibanya di Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru di Stulang Laut adalah kira-kira RM10,000.

“Mereka dijangka menaiki feri pada jam 10 pagi waktu Indonesia dan dijangka tiba di terminal itu pada jam 12 tengah hari sebelum dikuarantin 10 hari di Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata wang untuk pihak berkuasa Indonesia dijelaskan hari ini bagi membolehkan urusan membawa mereka pulang direalisasikan.

Nelayan, Md Roslan Kadir, 43, dan Faizal Jailani, 38, ditemukan hanyut di pantai Lecah, Pulau Rupat pada pagi 18 Februari lalu.

Seorang lelaki dari Pulau Rupat dikatakan menghubungi bapa Md Roslan, Kadir Abdullah, 67, dan memberitahu kedua-dua nelayan itu ditemukan penduduk tempatan dalam keadaan bergayut pada perahu gentian kaca yang terbalik di perairan pantai Lecah.

Kedua-dua nelayan itu turun ke laut dari pangkalan nelayan Kampung Pantai Kundor pada jam 7 pagi 16 Februari lalu untuk menangkap ikan tetapi enjin motor sangkut rosak dan menyebabkan mereka hanyut ke Pulau Rupat.

 

#nelayanhanyut

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post Cabaran besar universiti ‘mendidik’ mahasiswa pasca COVID-19
Next post Perak Man, rangka manusia berusia 11,000 tahun akhirnya miliki wajah
Ubah saiz-+=