Dua nelayan ditemukan selamat di Pulau Rupat

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PANTAI KUNDOR 18 Feb. – Dua nelayan ditemukan hanyut di perairan Lecah, Pulau Rupat, Indonesia pagi ini selepas perahu mereka terbalik ketika menangkap ikan petang semalam.

Mereka ditemukan penduduk tempatan dalam keadaan keletihan dipercayai akibat bergayut pada perahu gentian kaca yang terbalik tetapi tidak tenggelam akibat dipukul ombak besar.

Tekong Md Roslan Kadir, 43, dan awak-awak Faizal Jailani, 38, sudah dibawa ke hospital di wilayah berkenaan.

 

Md Roslan

Bapa Md Roslan, Kadir Abdullah, 67, berkata anaknya dan Faizal turun ke laut dari pangkalan nelayan Kampung Pantai Kundor jam 7 pagi semalam untuk menangkap ikan dengan kaedah merawai, iaitu beratus mata pancing yang dipasang di dasar laut.

“Selalunya mereka naik ke darat lewat petang atau malam tetapi saya menunggu mereka hingga malam tadi mereka tidak pulang.

“Jam 10 pagi tadi saya terima panggilan daripada lelaki di daerah Lecah, Pulau Rupat yang menyatakan anak saya dan Faizal ditemukan selamat dan sudah dibawa ke hospital di daerah itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pantai Kundor hari ini.

Faizal 

Beliau menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang berusaha mendapatkan bantuan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di bandar raya Melaka untuk membantu usaha membawa kedua-dua nelayan terbabit pulang.

Kadir berkata, lelaki terbabit memaklumkan kepadanya, Md Roslan memberitahu lelaki itu, mereka terjatuh ke laut selepas perahu mereka dipukul ombak besar petang semalam.

“Enjin motor sangkut 30 kuasa kuda terjatuh ke dalam laut tetapi perahu gentian kaca masih timbul dan mereka bergayut pada perahu itu hingga hanyut ke Pulau Rupat.

“Namun, lokasi sebenar perahu berkenaan terbalik tidak dapat dipastikan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Tanjung Kling pagi ini.

Katanya, Md Roslan seorang duda dan mempunyai dua anak lelaki berusia 15 dan 17 tahun manakala Faizal tidak dapat dipastikan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, APMM akan mengambil segala langkah perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Views:

725
Kongsi :
Previous post Peniaga harap ada sinar pulihkan perniagaan
Next post Boleh makan di kedai ikut saiz meja, lebih dua penumpang dalam satu kenderaan di kawasan PKP – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=