DMDI medan penyatuan Melayu Islam seluruh dunia

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 8 Jun – Penubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) lebih 20 tahun lalu terus kekal relevan terutama dalam penyatuan Melayu Islam di dunia ini.

Yang di-Pertua Negeri yang juga Presiden DMDI, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, DMDI ditubuhkan sebagai perintis dan pembuka jalan dalam pelbagai sektor terutama ekonomi, pendidikan, sosio budaya dan warisan, belia dan sukan, pelancongan serta pelbagai lagi.

Katanya, mula ditubuhkan pada 12 Oktober 2000, DMDI dirasmikan Almarhum Tuan Yang Terutama negeri, Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al Haj Syed Mahmud Shahbudin dan kini mempunyai 23 negara anggota.

“Program utama DMDI adalah mengadakan konvensyen setiap tahun sejak ia ditubuhkan dengan lazimnya diadakan di Melaka yang merupakan pusat pentadbiran organisasi ini.

“Malah kita juga pernah mengadakan di Singapura, Jakarta dan Medan, Indonesia dan dijadualkan pada tahun ini konvensyen ini bakal diteruskan dan dianjurkan di Phnom Penh, Kemboja pada 25 September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya pada Majlis Pelantikan Ketua DMDI Indonesia Bagi Tempoh 2023-2026 diadakan di sebuah hotel, di sini hari ini.

Dalam acara diadakan itu kira kira 100 delegasi DMDI dari Malaysia, Indonesia, China dan Singapura hadir menyaksikan acara pelantikan itu.

photo_2023-06-08_14-52-13
Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berucap pada Majlis Pelantikan Ketua Umum DMDI Indonesia Bagi Tempoh 2023-2026 di Hotel Mudzaffar, MITC, Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Dalam pelantikan itu, Datuk Said Aldi Al Idrus telah dilantik sebagai Ketua Umum DMDI Indonesia yang ke-2 menggantikan penyandangnya, H. Herman Deru yang juga merupakan Gubernur Sumatera Selatan.

Tempoh lantikan berkuatkuasa dari 2023 hingga 2026 berperanan sebagai menyusun dan membentuk pengurusan Sekretariat DMDI di 34 provinsi di Indonesia.

Sementara itu, Tun Mohd Ali berkata, lantikan baharu itu bertepatan dalam pimpinan negara itu berikutan Said Aldi merupakan seorang tokoh yang aktif dan mempunyai pengaruh besar di negara republik tersebut.

“Beliau telah berkecimpung dengan DMDI sejak 2002 dan telah berpengalaman menjelajah banyak negara anggota seperti Kemboja, Thailand, Brunei, Singapura dan banyak lagi, jadi atas latar belakang pendidikan dan pengalaman ini saya yakin beliau dapat memimpin dengan cemerlang dan semoga DMDI Indonesia terus maju.

“Saya juga selaku Presiden mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas perhidmatan yang cemerlang buat Bapak H. Herman Deru sebelum ini, “ katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1913
Kongsi :
Previous post Tiada hasrat naik harga minyak masak peket bersubsidi – Salahuddin
Next post Mohd Ridhwan teraju kepimpinan Gerakan Belia 4B Malaysia
Ubah saiz-+=