DMDI teruskan misi kemanusiaan gempa bumi di Cianjur

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 3 Disember – Misi kemanusiaan ke Cianjur, Jawa Barat, Indonesia akan diteruskan bagi membantu mangsa gempa bumi di negara Republik itu.

Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Malaysia, Datuk Md. Nasir Ghani berkata, misi itu akan diteruskan buat kali kedua setelah pihaknya menerima sumbangan berterusan daripada pelbagai pihak menerusi Tabung Kemanusiaan DMDI.

Jelasnya, setakat ini sumbangan tambahan berjumlah RM98,000 diterima pihaknya daripada individu dan syarikat di Melaka untuk disalurkan bagi misi bantuan.

“Menerusi sumbangan yang diterima ini kita akan mengagihkan kepada beberapa misi sumbangan di mana selain misi ke republik itu sumbangan ini akan disalurkan di sebuah pusat tahfiz di bawah seliaan DMDI di negeri ini selain sumbangan bantuan bank makanan dan pelbagai lagi.

“Sebelum ini, sebanyak RM20,000 telah disalurkan buat mangsa gempa bumi di Cianjur dan kita akan mengatur langkah untuk menyediakan misi seterusnya dengan menjalankan beberapa pendekatan lain seperti penyediaan bekalan keperluan dan pelbagai lagi sebelum menjalankan misi ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menghulurkan sumbangan menerusi misi yang diadakan ini dan ia sekali gus mendukung hasrat DMDI dalam meneruskan agenda menyatukan ukhwah dan silaturahim bersama masyarakat yang memerlukan,” katanya.

IMG_20221203_231929_305
AYER KEROH 3 Disember – Pengerusi DMDI Malaysia, Datuk Md Nasir Ghani. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Hi Tea dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Boling Siri Ke-2 Piala Pusingan Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Pada majlis itu, Toh Puan Asmah meraikan 35 kumpulan membabitkan warga DMDI di seluruh negara termasuk Singapura yang menjayakan kejohanan itu di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), pada sebelah pagi.

Sebanyak 10 kumpulan diumum sebagai pemenang dengan juara menjadi milik DMDI Singapura yang menerima replika cek bernilai RM1,000 dan pingat disampaikan Toh Puan Asmah.

Menerusi program sama, beberapa penyumbang terdiri daripada individu dan syarikat seperti Tag Marine Sdn. Bhd., Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka serta pelbagai lagi mengadakan penyerahan replika cek Tabung Kemanusiaan DMDI disaksikan tetamu yang hadir.

Majlis tersebut turut dihadiri mantan Yang di-Pertua negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob; Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Munira M Yusop; Pemangku DMDI Melaka, Datuk Wira Dr. Mohd Jamil Mukmin dan tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4285
Kongsi :
Previous post Bayi perempuan ditemukan dalam kotak di kebun Jemaluang
Next post Kerajaan Perpaduan titik tolak politik baharu Malaysia – Ab Rauf
Ubah saiz-+=