Kerajaan Perpaduan titik tolak politik baharu Malaysia – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MELAKA 3 Disember – UMNO Melaka memberi sokongan penuh kepada pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelantikan itu dilihat sebagai satu permulaan bagi parti untuk kembali berada di persada pentadbiran kerajaan seperti sebelum ini.

Tambahnya, gabungan baharu kerajaan itu diharap menjadi titik tolak politik baru untuk Malaysia.

“UMNO perhubungan Melaka mengalu-alukan pelantikan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 yang pernah menjawat jawatan sama pada 2016.

“Saya yakin, Ahmad Zahid menerusi pengalamannya mampu membantu Perdana Menteri untuk membangunkan negara selain memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

“Semoga dengan titik pertemuan ini akan melakarkan satu politik era politik baru dan selaku Pengerusi Perhubungan saya menyokong penuh perlantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana dilihat sebagai satu permulaan UMNO untuk kembali semula berada dipersada pentadbiran kerajaan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri turut menyifatkan Kerajaan Perpaduan baharu ini merupakan satu kombinasi terbaik selepas merdeka.

Katanya, ia berikutan sejarah baharu telah tercipta yang menyaksikan UMNO telah memberikan kerjasama kepada sebuah parti yang selama ini menjadi saingan sepanjang tempoh 20 tahun.

“Gabungan baharu ini dilihat bahawa satu era politik baru akan bermula di Malaysia bagi melestarikan kehidupan rakyat dan melupakan segala ketidaksefahaman yang sebelum ini menghantui mana-mana parti politik hingga menimbulkan banyak prasangka dalam ideologi politik masing-masing,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kesemua 27 jemaah menteri selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3530
Kongsi :
Previous post DMDI teruskan misi kemanusiaan gempa bumi di Cianjur
Next post Tandas kayangan: ‘Luar setinggan, dalam kondo’
Ubah saiz-+=