Sorting by

×

Doktor maut dalam perjalanan pulang dari kerja

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

PAYA RUMPUT 5 Oktober – Doktor maut, manakala pemandu lori parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Krubong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, Sandeep Singh Panthlia, 41, yang memandu kereta jenis Naza Forte maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga doktor di sebuah klinik swasta di Alor Gajah sedang dalam perjalanan pulang dari kerja di Alor Gajah menghala ke Klebang Besar.

Katanya, ketika di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori dipandu lelaki berusia 57 tahun dari arah Bukit Rambai menghala ke Krubong.

“Akibat rempuhan itu, pemandu kereta disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori mengalami kecederaan di kepala, tangan dan hidung dan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Mayat mangsa pula dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan POL 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Christopher berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan dengan pihaknya sedang dalam usaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

29375
Kongsi :
Previous post Pelajar sekolah ejen tangani perubahan iklim
Next post Kurangkan keluasan getah matang tidak bertoreh, tingkatkan pekebun kecil
Ubah saiz-+=