Dr Massila dilantik Naib Canselor UTeM baharu

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 21 Mac – Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu berkuat kuasa hari ini sehingga 20 Mac 2025.

Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor kelima UTeM adalah bagi menggantikan Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim yang telah tamat tempoh lantikan sebelum ini.

Ia menjadikan beliau sebagai wanita kedua yang menerajui kepimpinan UTeM sekali gus dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Massila memulakan kerjayanya di UTeM pada tahun 2004 sebagai tutor di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM.

Pernah menjawat beberapa jawatan pentadbiran antaranya sebagai Penyelaras & Pengurus, Centre of Excellence (CoE) UTeM (Mei 2014 hingga Mei 2017) dan Timbalan Dekan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (Jun 2017 hingga September 2020).

Beliau mempunyai aspirasi dan strategi yang jelas untuk menyuntik perubahan positif dalam lanskap pentadbiran dan pengurusan UTeM serta memperkukuhkan aspek pembangunan institusi dan akademik UTeM sebagai sebuah Universiti Teknikal yang disegani dan terus dikagumi.

Untuk rekod, Massila dilahirkan pada 14 Ogos 1981 dan berasal dari Banda Hilir, Melaka mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003.

Beliau berjaya memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Perisian dari University of Wales Swansea, United Kingdom dan seterusnya memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada tahun 2011 dari The University of Auckland, New Zealand.

Selain itu, beliau turut terlibat aktif dalam bidang penyelidikan dan inovasi, penulisan jurnal, pelbagai konferens dan seminar serta aktiviti konsultansi bagi beberapa agensi kerajaan dan syarikat yang memberikan impak tinggi kepada negara dan dunia.

Susulan daripada sumbangan kepada universiti dan negara maka beliau telah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan peringkat nasional dan global antaranya Malaysian Young Women Scientist 2020 oleh MINDS Malaysia.

“Pihak UTeM mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini seterusnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan pula kepada Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UTeM sebelum ini,” kata kenyataan dikeluarkan UTeM, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4880
Kongsi :
Previous post GiatMara tawar kursus TVET untuk murid 12-16 tahun – Mahdzir
Next post Pesawat bawa 132 penumpang dilapor terhempas di China
Ubah saiz-+=