Dua kru bot warga Myanmar dikhuatiri hilang, bot dinaiki karam

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

LUMUT 5 Mei. – Dua kru bot warga Myanmar dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian ribut di perairan Pantai Remis, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, beliau menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.35 tengah malam tadi, sebelum segera ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Bot nelayan tempatan itu adalah antara empat bot nelayan kelas B yang dilaporkan karam, akibat dilanda ribut ketika keluar menangkap ikan semalam.

“Namun, semua bot yang lain selamat dalam kejadian ribut itu dan hanya dua kru dari bot karam itu dikhuatiri hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman. Foto Berita Perak.

Shahrizan berkata, pihaknya menggerakkan Bot Perkasa 1223 dan Kapal Maritim Nyalau, untuk SAR di lokasi bot berkenaan dilaporkan karam.

Sementara itu, Shahrizan dalam satu kenyataannya berkata, sepanjang Ramadan ini, pihaknya mengesan 267 kes melibatkan bot nelayan tempatan, kapal-kapal dagang dan bot tunda, serta satu tangkapan di bawah Akta Perikanan 1985.

Katanya, operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan bot nelayan tempatan pada Ramadan dipertingkatkan, dengan penglibatan 24 anggota serta tiga bot iaitu Penggalang 13, Perkasa 23, dan Pengawal 17.

“Penguatkuasaan yang dilakukan pada Ramadan juga tidak akan terhenti sehingga musim perayaan sahaja,” katanya.

Akta Perikanan itu antaranya seperti melanggar syarat lesen, menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan dan kapal asing yang memberhentikan pelayaran, menerusi wilayah laut Malaysia tanpa alasan.

Shahrizan berkata selain pemeriksaan rutin, pihaknya turut melakukan risikan lapangan serta menjalinkan hubungan erat dengan komuniti maritim, berserta badan bukan kerajaan tempatan (NGO) terutama sekitar kawasan panas.

“Dalam menangani aktiviti jenayah serta salah laku di laut, pelbagai pendekatan yang kita lakukan. Sepanjang 2020, Maritim Perak merekodkan sebanyak 590 kes pengusiran terhadap bot nelayan asing dari perairan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu Shahrizan berkata, bermula Januari sehingga April tahun ini tiga kes pencerobohan bot nelayan asing dicatatkan, manakala kesalahan aktiviti perikanan sebanyak 13 kes tangkapan melibatkan bot nelayan tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

946
Kongsi :
Previous post Peniaga pau terima sumbangan kereta terpakai
Next post Mesin kitar semula jimatkan kos pembuangan sampah di pasar borong
Ubah saiz-+=