Mesin kitar semula jimatkan kos pembuangan sampah di pasar borong

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KESIDANG 5 Mei. – Masalah pengendalian sampah yang mencecah kos kira-kira RM35,000 sebulan mampu dikurangkan dengan penggunaan mesin kitar semula polyform jenis Greenmax M-C200.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, mesin berkenaan mula beroperasi sejak 11 September tahun lalu dengan harga bernilai hampir RM164,000.

Katanya, mesin yang menjalankan proses kitar semula daripada bahan pembuangan sisa pepejal seperti polistrin dan sisa makanan seperti sayuran dan ikan itu menghasilkan pelbagai barangan yang boleh diguna semula termasuk baja, bingkai gambar dan bingkai tetikus.

SHADAN mengadakan lawatan tapak di pusat kitar semula di Pasar Borong MPHTJ, Batu Berendam.

“Dengan program kitar semula ini, pihak pengurusan pasar borong mampu menjimatkan kos pembuangan sampah antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan berbanding sebelum ini mencecah kira-kira RM35,000 sebulan.

“Mesin ini adalah yang pertama digunakan di pasar borong di Melaka dan tujuan penggunaannya adalah untuk mengelakkan pencemaran,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak bangunan kitar semula di Pasar Borong MPHTJ Batu Berendam, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Osman dan Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr Nor Azlina Ariffin.

BINGKAI gambar yang dihasilkan barang kitar semula menerusi mesin Greenmax M-C200.

Mengulas lanjut, Shadan berkata menerusi program itu pihaknya mengalu-alukan kerjasama bersama MOSTI untuk memikirkan teknologi baharu yang boleh digunakan di pasar borong di kawasan kendaliannya.

“Pihak kementerian sudah melihat konsep yang dijalankan, namun sekiranya ada teknologi baharu yang boleh difikirkan, kita mengalu-alukan untuk kerjasama.

“Setakat ini, pusat kitar semula di pasar borong ini menggunakan dua mesin, satu untuk kitar semula sayur, satu lagi untuk polistrin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1853
Kongsi :
Previous post Dua kru bot warga Myanmar dikhuatiri hilang, bot dinaiki karam
Next post Songkok buatan tangan dari Duyong laris bila tiba raya
Ubah saiz-+=