Dua lagi kluster dikenal pasti, jumlah kluster aktif kini 39

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Dua lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Batu di Taiping, Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif di Malaysia sebanyak 39 kluster.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Batu dikenal pasti hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

“Hasil saringan ini mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif COVID-19 pada 5 Okt dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

“Sehingga 6 Okt, 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring manakala punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Bagi Kluster Ramai-Ramai, kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12161) merupakan seorang pemandu bas yang mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 Sept.

“Kes dikesan positif pada 3 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti, melibatkan warga tempatan. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat tujuh kluster aktif lain yang mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 hari ini termasuk Kluster Tembok sebanyak 394 kes baharu; Kluster Bangau-Bangau (30 kes), Kluster Jalan Meru (15 kes), Kluster Bah Sintok (tiga kes); Kluster Benteng PK (dua kes); manakala Kluster Selasih dan Kluster Embun masing-masing mencatatkan satu kes baharu.

Dr Noor Hisham menjelaskan daripada 688 kes penularan di dalam negara, sebanyak 394 kes melibatkan kes daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah sekali gus meliputi 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

Views:

213
Kongsi :
Previous post Bayi setahun mangsa termuda meninggal dunia akibat COVID-19
Next post Kerajaan tidak bercadang laksana PKP – PM
Ubah saiz-+=