Dua lelaki Filipina dipenjara enam bulan guna kad pengenalan palsu

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

LUMUT, 25 Jan – Dua lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu.

Majistret A Hafiizh Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu ke atas Sulaiman Janalun, 36, dan Mizwan Zakaria, 26, yang bermula dari tarikh mereka ditangkap, pada Jumaat lepas.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan klinik Mediclinic Sinaran, Taman Sentosa, Sitiawan di sini, kira-kira 12.30 tengah hari, 21 Jan lepas.

Mereka ditahan dalam Ops Jala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya di klinik berkenaan ketika ingin melakukan Rapid Test Kit (RTK) antigen dan PCR sebelum diterima bekerja di kilang di kawasan berhampiran.

Mengikut pertuduhan, Sulaiman didakwa tanpa kuasa yang sah menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Mohamad Ridwan Bin Duraman sebagai pengenalan diri manakala Mizwan menggunakan kad pengenalan atas nama Al Adzmi Bin Seid.

Pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Peraturan-Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zulkifli Idris manakala Sulaiman dan Mizwan tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sulaiman merayu hukuman ringan atas alasan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak manakala Mizwan memohon maaf atas kesalahan dilakukan dan meminta supaya dibenarkan pulang ke negara asal secepat mungkin.

Zulkifli bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap mereka kerana kesalahan dilakukan amat berat, berkaitan kepentingan awam dan keselamatan negara selain untuk memberi pengajaran kepada orang ramai.

Mereka masing-masing datang dari Kuala Lumpur dan Johor Bharu untuk bekerja sebagai jurukimpal yang diuruskan ejen pekerjaan.

Semakan pihak berkuasa mendapati dua lelaki berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri dan mengaku membeli kad pengenalan palsu tersebut di Sabah dengan harga RM350 dan RM500.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

924
Kongsi :
Previous post Kerajaan pertimbang kelonggaran SOP jika proses dos penggalak selesai – PM
Next post Ahmad Faizal beri bayangan kemelut Zii Jia – BAM diselesaikan dalam tempoh terdekat
Ubah saiz-+=