Dua MoU pembangunan German Technology Park

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR 22 Mac – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Melaka (MCORP) menandatangani dua memorandum untuk pembangunan German Technology Park (GTP) Melaka dalam majlis berlangsung di sebuah hotel, hari ini.

MoU antara MCORP dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah bagi tujuan pemasaran, mempromosikan GTP dalam misi perdagangan dan pelaburan MIDA khususnya kepada pelabur berkaitan Jerman di Malaysia serta antarabangsa.

Sementara itu satu lagi MoU adalah antara MCORP bersama lapan pemilik tanah untuk pembangunan GTP di sebuah kawasan perindustrian baharu seluas 341.18 ekar (138.07 hektar) bakal dimajukan di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh.

Pembangunan projek kini berada pada fasa awal iaitu perancangan model perniagaan antara MCORP bersama lapan pemilik tanah yang juga rakan strategik pembangunan GTP.

Pembangunan infrastruktur GTP yang bakal menerapkan unsur Environmantal, Social & Governance (ESG), Sustainable Development Goals and Green Building Index (GB1) itu dijangka siap dan dibuka untuk jualan pada 2026.

MoU terbabit disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Duta Besar Jerman Ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.

Turut hadir, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, Ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post Kestabilan politik tunjang kemajuan Melaka
Next post Kuih tradisional, dodol air tangan wanita Jasin
Ubah saiz-+=