Dua sahabat terlepas tali gantung, dipenjara 12 tahun, 10 sebatan miliki dadah

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PUTRAJAYA, 7 Feb – Dua sahabat terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan sabitan terhadap dua pertuduhan mengedar 626.55 gram dadah jenis methamphetamine, lima tahun lepas.

Bagaimanapun, Mohd Shazril Hafez Ibrahim, 29, dan Ahmad Sawal Ramle, 32, selaku perayu disabitkan terhadap kesalahan memiliki dadah itu dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili kedua-dua perayu memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi mereka bagi mengetepikan hukuman gantung iaitu mengedar kepada memiliki dadah tersebut.

“Setelah mempertimbangkan mitigasi kedua-dua perayu, perayu masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 2 Feb 2018,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Datuk Supang Lian dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

Mengikut dua pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki 626.55 gram methamphetamine di dalam bilik hadapan sebuah rumah di Jalan Kuala Berang, Kampung Padang Midin, Bukit Payong, Marang, Terengganu pada 6.30 petang, 8 Feb 2018.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hisyam Mohd Jaafar.

Pada Januari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua lelaki itu setelah mereka didapati bersalah mengedar 626.55 gram methamphetamine.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1941
Kongsi :
Previous post 150 PBT terima Geran GeRAK pada 2022
Next post RM100,000 bantu asnaf kembangkan perniagaan
Ubah saiz-+=