150 PBT terima Geran GeRAK pada 2022

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PUTRAJAYA, 7 Feb – Sebanyak 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing menerima Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) berjumlah RM250,000 pada tahun lepas bagi memperkasakan inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata geran yang dilancarkan pada 6 April 2021 itu menetapkan hala tuju dan pendekatan yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon ke arah mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca (GHG).

“Maklum balas PBT terhadap GeRAK amat menggalakkan dan insya-Allah kita (kerajaan) akan teruskan (pemberian) geran ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis prapelancaran Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 di sini hari ini.

GeRAK yang dilancarkan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta diutamakan kepada PBT yang melaksanakan program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) serta Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 di peringkat kategori Zon Rendah Karbon.

Mengenai IGEM 2023 bertemakan ‘Race Towards Net Zero: Leadership for Climate Action’ yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Okt depan, Nik Nazmi berkata kerajaan menyasarkan potensi perniagaan bernilai sekurang-kurangnya RM4 bilion sepanjang tiga hari acara berlangsung.

“Sasaran ini adalah berdasarkan rekod kejayaan semua edisi IGEM yang diadakan sebelum ini. Tahun lepas kita berjaya bawa masuk RM4.25 bilion potensi perniagaan dengan kehadiran 33,150 pengunjung,” katanya.

IGEM adalah acara perdagangan tahunan untuk teknologi hijau dan penyelesaian eko anjuran Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1259
Kongsi :
Previous post Arca instaworthy tarikan pelancongan di Masjid Tanah
Next post Dua sahabat terlepas tali gantung, dipenjara 12 tahun, 10 sebatan miliki dadah
Ubah saiz-+=