Sorting by

×

‘DULU BAWAH POKOK, SEKARANG JADI SUKAN POPULAR’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

LENDU 8 September – Permainan dam aji yang suatu ketika dahulu dilabel sebagai aktiviti tidak mendatangkan hasil  kini berubah menjadi sukan popular dan turut menjadi pilihan mengisi masa lapang dalam kalangan penuntut universiti.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, inisiatif Kerajaan Melaka memartabatkan semula dam aji susulan cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kini menunjukkan perkembangan amat positif.

Katanya selepas lebih setahun inisiatif itu dilaksanakan dengan penganjuran pelbagai pertandingan selain promosi menerusi agihan set dam aji sukan itu kini mula menjadi pilihan ramai tanpa mengira peringkat usia atau kelayakan akademik.

“Apabila dilihat daripada sudut lebih besar dam aji adalah satu bentuk permainan yang memerlukan ketajaman akal, mengasah minda agar kita sentiasa berfikir ke hadapan. Langkah pertama dalam dam aji adalah gambaran kepada 10 pergerakan yang akan datang.

“Pelbagai kemungkinan boleh berlaku, jadi pemain perlu bijak mengatur strategi. Nilai-nilai seperti ini yang perlu kita terapkan dalam kehidupan seharian, melakukan setiap perkara dengan berfikiran jauh ke hadapan seterusnya mengelakkan perkara buruk dan meraih kejayaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata demikian ketika ditemui di tapak Kejohanan Sukan Piala Ketua Bahagian Masjid Tanah di Kompleks Rakan Muda Lendu, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Hameed berkata, begitu juga dengan permainan tradisional konda kondi yang semakin diterima ramai tanpa mengira peringkat usia di Negeri Melaka.

“Ketika kita umumkan mahu angkat martabat konda kondi ada pihak yang memperlekehkan idea ini, sekarang dengan nafas baharu dan dijenamakan semula permainan tradisional ini semakin popular.

“Saya yakin dalam tempoh setahun, konda kondi akan terus berkembang sama seperti dam aji. Kita akan teruskan agenda mengangkat martabat sukan tradisional, alhamdulillah sekarang ini juga semakin banyak pertandingan dam aji dianjurkan” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

517
Kongsi :
Previous post GERHANA BULAN PENUH, TYT HADIR PROGRAM CERAPAN DI DATARAN ISLAM
Next post LEBIH 100,000 ‘SERBU’ MINGGU MELAKA DI OSAKA