Dulu operator kilang, sekarang doktor falsafah

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KOTA LAKSAMANA – “Selepas berhijrah ke Melaka dari Terengganu ketika berusia 18 tahun saya bekerja sebagai operator di sebuah kilang.

“Dua tahun kemudian iaitu pada 1991 saya memohon jawatan guru agama sekolah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Alhamdulillah saya diterima, syukur meskipun ketika itu gaji cuma RM220,” kata pesara guru, Khairiah Abdullah, 57.

Khairiah yang kini merupakan seorang pensyarah dan penceramah motivasi menjadi penerima tunggal Anugerah Tokoh Guru JAIM 2024, disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIM Peringkat Negeri Melaka diadakan di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Atas kejayaan itu Khairiah membawa pulang plak, sijil, replika cek bernilai RM5,000 dan pakej menunaikan umrah.

Hadir sama pada majlis itu Pegawai Kewangan Negeri Melaka yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata dia akan tetap terus belajar menimba ilmu baharu dalam bidang agama.

Dia mahu menjadi contoh kepada guru agama di negeri ini supaya mempunyai pencapaian akademik tertinggi agar dapat menjadi cerminan kepada anak murid di sekolah.

“Pada usia 41 tahun saya menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda, tidak terhenti setakat itu saya habiskan hingga doktor falsafah (PhD).

“Kajian saya adalah berkaitan guru JAIM. Saya mahu mengangkat martabat guru JAIM, perlu ingat aliran agama di bawah JAIM ini amat penting untuk membentuk modal insan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan guru JAIM agar terus cemerlang menggilap masa depan anak murid, sekali gus memartabatkan lagi pendidikan agama di negeri ini.

“Kepada semua guru naungan JAIM kita tidak perlu memandang nilai pembayaran, tetapi impaknya. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan JAIM yang memberi peluang kepada saya untuk mendidik di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

183
Kongsi :
Previous post Polis Melaka tawar 50 peratus diskaun saman trafik
Next post Kediaman Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk, motosikal hilang
Ubah saiz-+=