Sorting by

×

Dulu sunyi pengunjung, kini ‘meriah’ sisa sampah

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PENGKALAN BALAK 18 Sept. – Kebenaran riadah dan rekreasi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 merubah suasana Pantai Padang Kemunting dekat sini menjadi ‘meriah’ dengan pelbagai sisa sampah dipercayai ditinggalkan pengunjung tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di pantai yang mula dikunjungi orang ramai sejak pagi tadi mendapati, pelbagai sisa sampah seperti plastik bungkusan, botol, lampin pakai buang, bekas minuman dan makanan dibuang di beberapa lokasi pantai peranginan berkenaan.

Malah, pangkal pokok turut dijadikan ‘tong sampah’ meskipun terdapat tong sampah disediakan oleh pihak berkuasa tidak jauh dari situ.

Seorang pekerja pembersihan, Norizah Borhan, 49, berkata, lebih lapan plastik sampah dikutip dalam tempoh kurang empat jam di kawasan berkenaan tidak termasuk empat pekerja lain.

NORIZAH

“Sini memang banyak pokok tapi mereka tetap campak sampah dekat pokok. Sampah plastik-plastik, lampin pakai buang, polisterin bekas makan habis dicampak begitu saja.

“Walaupun tong sampah disediakan mungkin tidak mencukupi, sekurang-kurangnya ikatlah sampah dalam plastik elok-elok dan letakkan di tempat sesuai supaya mudah dikutip,” katanya.

Lebih menyedihkan katanya, dia yang sudah berkhidmat hampir lapan tahun sebagai tukang sapu sering dimarahi apabila berlakunya masalah lambakan sampah di kawasan itu sedangkan ia berpunca daripada sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau kita tegur nanti orang marah tapi apakan daya, ramai yang tidak sedar perbuatan itu menyusahkan orang ramai.

“Kalau boleh pengunjung bawalah sendiri plastik sampah, buang sampah elok-elok kerana menjaga kebersihan ini sebenarnya adalah tanggungjawab kita semua,” katanya.

Sementara itu pengunjung, Sabirah Haris, 28, meluahkan rasa kecewa kerana sikap segelintir pengunjung di kawasan itu yang sewenang-wenangnya melonggokkan sampah tanpa rasa bersalah.

SABIRAH

Ujarnya, tindakan tidak bermoral itu dikhuatiri boleh mengancam hidupan penyu karah yang mendarat di perairan pantai berkenaan, sekali gus mencalarkan imej Melaka sebagai negeri pelancongan.

“Sikap sebegini amat memalukan sedangkan mereka sepatutnya gunakanlah kelonggaran berkhelah diberikan kerajaan ini untuk lebih menghargai alam sekitar setelah sekian lama terkurung di rumah.

“Kalau macam inilah sikap mereka, lebih baiklah tempat ini sunyi dari pengunjung daripada sakit hati melihat ‘meriah’ dengan sisa sampah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

677
Kongsi :
Previous post 100 pek makanan buat gelandangan
Next post Satu badan khas perlu tangani harga ayam di pasaran
Ubah saiz-+=