DUN Melaka lulus had umur ADUN kepada 18 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SERI NEGERI 2 Mac – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan had umur calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang diturunkan daripada had 21 tahun kepada 18 tahun.

Perkara itu diluluskan menerusi Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan 2022) menerima sokongan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir termasuk pembangkang dengan kiraan 25 ADUN bersetuju manakala tiga lagi tidak hadir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) itu berkata, Melaka antara negeri terakhir yang meminda perkara terbabit.

“Menurunkan had umur ini akan memberi peluang kepada anak muda untuk terus menyertai proses demokrasi negara.

“Malah memberi pengiktirafan kepada kemampuan mereka berfikir menentukan kepimpinan negeri dan terlibat dalam proses membentuk polisi yang jauh lebih baik untuk negeri serta negara ini,” katanya dalam penggulungan RUU terbabit.

Sementara itu, Datuk Khaidirah Abu Zahar (BN-RIM) ketika perbahahasan turut menyambut baik pindaan bagi had umur calon DUN diturunkan.

Katanya, meskipun terdapat beberapa pihak yang mempertikai pindaan terbabit, namun dengan ruang dan peluang diberikan, dasar mesra orang muda dapat dicipta.

“Ini merupakan waktu yang sesuai untuk mengubah sistem pendidikan dinamik, kerana kita melihat contoh negara eropah mengenai keterlibatan golongan muda dalam politik.

“Jadi sistem pendidikan juga perlu dinamik dan pendidikan demokrasi di negara terbabit boleh dicontohi.

“Jika belia diberi peluang awal, ini bermakna kerajaan negeri telah bersedia dan hal ini merujuk kepada DUN Belia yang diwujudkan dimana dasar serta kaedah sama seperti Sidang DUN kini,” katanya.

Manakala, Zulkiflee Mohd Zin (BN- TABOH NANING) pula berkata, pindaan itu merupakan langkah tepat dan wajar dilaksanakan kerana belia merupakan tonggak masa hadapan.

“Penglibatan anak muda dapat melahirkan sudut pandang lebih cekal dan dengan pelaksanaan had umur bermula 18 tahun.

“Bermakna golongan muda dapat bersama berganding bahu dalam memperkasa politik negara seterusnya menentukan hala tuju negara,” katanya.

Sesi perbahasan turut disertai dua lagi ADUN pembangkang iaitu, Dr Mohd Aleef Yusof (PN-SUNGAI UDANG) dan Kerk Chee Yee (PH-AYER KEROH) yang menyokong pindaan RUU terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1603
Kongsi :
Previous post Dakwaan kempen PN ‘senyap’ tidak betul – Muhyiddin
Next post Konflik Rusia-Ukraine, minyak sawit catat paras tertinggi
Ubah saiz-+=