DUN Melaka lulus kadar saraan baharu

Masa Membaca:3 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 29 November – Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas hari ini meluluskan usul dan Rang Undang-undang Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usul itu bagi kenaikan saraan untuk anggota Ahli-Ahli Pentadbiran Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Ex-Officio).

“Untuk makluman kali terakhir semakan saraan ahli pentadbiran dan dewan negeri dibuat adalah pada 2015, sejak itu, hampir lapan tahun tiada lagi semakan atau cadangan kenaikan saraan dilakukan.

“Menerusi penelitian dan semakan dibuat Unit Dewan dan MMKN, Jabatan Ketua Menteri Melaka mendapati DUN Melaka berada pada kedudukan ke 11 daripada 13 buah negeri. Ahli pentadbiran dan dewan negeri menerima bayaran saraan terendah menerusi bayaran gaji dan elaun tetap bulanan ahli dewan.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan gaji dan elaun tetap bulanan ahli dewan menerusi mesyuarat MMKN P.15 (A) Bil 22/2023 yang bersidang pada 1 November 2023, bersetuju meluluskan kadar saraan baharu bagi kesemua Adun.

“Dengan kadar baharu ini, Kerajaan Negeri berharap ia dapat memastikan kebajikan Ahli-ahli Yang Berhormat terpelihara di samping membantu membiayai kos kehidupan mereka selepas bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan usul dan rang berkenaan pada hari ketiga Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kenaikan saraan itu melibatkan seramai 155 orang dengan pecahan 32 ahli pentadbiran dan DUN yang masih dalam perkhidmatan, manakala seramai 123 adalah ahli dewan yang telah berpencen.

“Sama ada mereka menerima pencen atau pencen terbitan juga akan diberikan kenaikan saraan pencen masing-masing.

“Semua pesara ini akan menerima kenaikan pencen mengikut perkiraan tahun perkhidmatan yang boleh dimasuk kira bagi penyelarasan bayaran pencen masing-masing.

“Kenaikan saraan berpencen ini melibatkan implikasi kewangan sejumlah RM3,470,333.28 setahun dan ia akan berkuatkuasa bermula Januari 2024,” katanya.
Pindaan yang dilakukan ialah terhadap Seksyen 3 untuk menaikkan bayaran Elaun Tetap Ahli Dewan daripada RM9,000 kepada RM12,000, Seksyen 4 untuk menaikkan saraan Speaker Lantikan Dari Kalangan Ahli Dewan daripada RM7,000 kepada RM11,000 dan Speaker Bukan Lantikan Ahli Dewan daripada RM8,000 kepada RM11,000.

Ab Rauf berkata kedua-dua jawatan Speaker itu juga diberikan Elaun Ahli Dewan sebanyak RM12,000 berbanding RM9,000 ketika ini.

Dalam usul sama, turut dikemukakan ialah pindaan terhadap Seksyen 4A untuk menaikkan saraan bagi Timbalan Speaker daripada RM3,000 kepada RM4,000 selain Seksyen 6(1)(a) bagi menaikkan saraan Anggota Pentadbiran bagi Ketua Menteri kepada RM18,000 berbanding RM15,000 ketika ini.

Hal itu juga melibatkan pindaan terhadap Seksyen 6(1)(b) untuk menaikkan saraan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) daripada RM7,000 kepada RM8,000.

Selain itu kata beliau, di bawah Seksyen 11A ada menyatakan mengenai Elaun dan Keistimewaan Bagi Pegawai Tertentu iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri sebagai ahli rasmi MMKN, boleh sebagai tambahan kepada gaji yang diterima dan elaun dinikmati mereka sebagai pegawai awam, diberi apa-apa elaun lain dan keistimewaan seperti ditentukan Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa iaitu dinaikkan daripada RM8,250 kepada RM9,250.

Terdahulu Ab Rauf membentangkan usul itu yang kemudiannya disokong Datuk Rais Yasin (BN-Paya Rumput) dan dibahaskan oleh dua pembahas termasuk seorang daripada blok pembangkang.

Usul tersebut dibahaskan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim)
Pada akhir undian, usul itu menerima sokongan majoriti 26 undi, manakala dua Adun tidak hadir iaitu Adly Zahari (PH-Bukit Katil) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (BN-Rembia)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post KPDN Melaka rekod 303 kes rampas RM1.6 juta barangan
Next post Zakat Melaka kutip lebih RM100 juta
Ubah saiz-+=