DUN Melaka lulus Usul Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Masyarakat Negeri Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 10 Julai – Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 hari ini meluluskan usul penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Masyarakat Negeri Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penubuhan itu diusulkan selaras dengan Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Menurut Ketua Menteri, penubuhan itu bertujuan untuk menerima, menyalur, membelanjakan atau membayar elaun-elaun yang diterima dan juga membelanjakan aktiviti-aktiviti dianjurkan.

“Aktiviti adalah untuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu Negeri Melaka (JPKKB) atau mana-mana jawatankuasa pembangunan lain.

“Kerajaan Negeri menggunapakai Akaun Amanah Jawatankuasa Ketua Kampung di bawah Seksyen 9 Akta Tatacara
Kewangan 1957 (Akta 61) bagi penyaluran peruntukan berkaitan JPKK sehingga ke hari ini.

“Berdasarkan tatacara pengurusan akaun atau Kumpulan Wang Amanah Kerajaan terdapat keperluan agar tabung sedia ada dibuat pindaan ke Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) memandangkan tabung ini menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, penubuhan ini juga bertujuan bagi melancarkan tadbir urus kewangan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Masyarakat Negeri Melaka.

“Penyaluran atau pembayaran elaun mahupun perbelanjaan untuk sesuatu jawatankuasa adalah tertakluk kepada sumbangan atau penyaluran yang diperuntukkan oleh kementerian berkaitan sahaja,” katanya.

Terdahulu Ab Rauf membentangkan usul itu yang kemudian dibahaskan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mewakili Kerajaan Negeri dan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dari blok pembangkang.

Pada akhir undian, usul itu menerima sokongan majoriti 21 undi, manakala dua lagi berkecuali dan lima Adun tidak hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

158
Kongsi :
Previous post Jelajah subsidi diesel beri penerangan pada golongan sasar
Next post MyKiosk teratur dan kemas
Ubah saiz-+=