DUN Melaka lulus usul tubuh Kumpulan Wang Amanah Am Negeri Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI NEGERI 1 Ogos – Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15, hari ini, meluluskan usul penubuhan Kumpulan Wang Amanah Am Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf berkata, perkara itu adalah selaras perenggan Seksyen 10(4)(b) Akta Tatacara Kewangan 1957.

Katanya, penubuhan Kumpulan Wang Amanah Am Negeri Melaka itu membolehkan peruntukan diterima daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Agensi, Badan Berkanun, Anak Syarikat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Persatuan, Pertubuhan Badan Bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat/individu atau mana-mana entiti dari dalam dan luar negara bagi maksud Kumpulan Wang.

“Berdasarkan tatacara pengurusan Akaun atau Kumpulan Wang Amanah, terdapat keperluan agar tabung sedia ada dibuat pindaan ke Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957, memandangkan tabung ini menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri serta Agensi, Badan Berkanun, Anak Syarikat selain PBT di bawah negeri.

“Bagi tujuan mengakaunkan terimaan, tabung ini sebagai Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri, Kumpulan Wang Amanah hendaklah ditubuhkan selaras dengan Seksyen 10 Akta Acara Kewangan 1957.

“Kumpulan Wang Amanah ini amat penting kerana ia bertindak sebagai penambahbaikan kepada akaun amanah sedia ada, bagi membolehkan terimaan dan perbelanjaan untuk pelaksanaan projek serta program agar mendapat sumber peruntukan yang meluas daripada pelbagai pihak,” katanya.

Tambahnya, penubuhan Kumpulan Wang Amanah itu juga dapat membantu pengurusan kewangan yang lebih baik demi kebaikan dan manfaat kesejahteraan rakyat.

Jelas beliau, ketika kini, Kerajaan Negeri mempunyai Akaun Amanah Am Negeri, iaitu penubuhannya di bawah Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 yang telah digunapakai mulai 1 Januari 2004 sehingga sekarang.

Terdahulu Ab Rauf membentangkan usul itu yang kemudian disokong VP Shanmugam (BN-Gadek) dan dibahas oleh empat pembahas termasuk seorang daripada blok pembangkan.

Usul tersebut dibahaskan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban); Siti Faizah Abd Azis (BN-Sungai Rambai); Mohd Noor Helmy Abd Halem (BN-Duyong) dan Adly Zahari (PH-Bukit Katil).

Pada akhir undian, usul itu menerima sokongan majoriti 27 undi, manakala seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Kongsi :
Previous post Tingkat ilmu perkhidmatan pelanggan ‘frontliner’ pelancongan
Next post Ahli Jawatankuasa DUN Melaka yang baharu dilantik
Ubah saiz-+=