Duta pelancongan Fan Bingbing bawa impak positif untuk Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 8 Jun – Pelantikan Fan Bingbing sebagai Duta Pelancongan Melaka bakal memberi impak positif kepada industri pelancongan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kehadiran pelakon terkenal China itu berupaya menarik lebih ramai pelancong khususnya dari luar negara ke Negeri Melaka.

Menurut beliau, pelantikan Fan Bingbing sebagai Duta Pelancongan Melaka secara rasmi akan berlangsung ketika kunjungan artis tersebut ke Melaka dalam Program Meet and Greet pada 15 Jun ini di Encore Melaka.

“Melaka bertuah kerana tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk mendapatkan khidmat Fan Bingbing bagi mempromosikan Melaka menerusi laman sosial miliknya.

“Ini kerana pelakon yang mempunyai pengaruh besar di media sosial ini, sangat tertarik dengan perkembangan industri pelancongan Melaka.

“Pada asalnya beliau (Fan Bingbing) hanya mahu datang melancong, tetapi kelebihan yang ada pada kita kerana pengurusnya di peringkat Asia adalah anak Malaysia dan mencadangkan supaya lawatan Fan Bingbing ke Melaka seterusnya berjumpa peminatnya di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perarakan Perahu Naga Melaka 2024 di Dataran Persahabatan Malaysia-China, Lorong Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri sangat berbesar hati apabila tidak dikenakan sebarang caj yang terlalu tinggi kerana hanya membantu dari sudut logistik dalam siri lawatan Fan Bingbing ke Melaka.

Img 20240608 141250 065
PELANCONG bergambar di mural Fan Bingbing yang terdapat di Dataran Persahabatan Malaysia-China, Lorong Hang Jebat. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau menyifatkan ia sebagai satu penghargaan untuk Negeri Melaka, justeru satu sudut di Lorong Hang Jebat telah diabadikan dengan mural wajah Fan Bingbing ketika dia menjadi pelakon dalam salah satu filemnya yang hit di China.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post 32 pasukan berentap dalam saingan Liga Melaka 2024
Next post Perarakan perahu naga rancakkan pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=