Perarakan perahu naga rancakkan pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 8 Jun – Lebih 13 kumpulan melibatkan 150 peserta dalam dan luar negara menyertai Perarakan Perahu Naga Melaka 2024, di Sungai Melaka, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program tersebut dikategorikan dalam sub sektor pelancongan sukan yang mana ia berupaya menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Beliau berkata, Perarakan Perahu Naga 2024 itu diadakan bersempena Pesta Duanwu yang merupakan salah satu perayaan tradisional kaum Cina.

“Perarakan Perahu Naga 2024 ini diadakan sempena satu perayaan tradisional kaum Cina yang merupakan acara sukan air yang utama sejak 2,000 tahun lalu.

“Saya percaya, program ini juga secara tidak langsung dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perarakan Perahu Naga Melaka 2024 di Dataran Persahabatan Malaysia-China, Lorong Hang Jebat di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik program-program yang menjurus kepada pemerkasaan tradisi.

“Saya percaya melalui inisiatif inilah, segala acara dan aset warisan terus diperkenalkan kepada setiap lapisan generasi agar tidak hilang ditelan dek zaman,” katanya.

Menurut Ketua Menteri, pada esok (Ahad) akan berlangsung pertandingan Malaysia-China Dragon Boat Regatta 2024 di Dataran Melaka Sentral Riverfront yang membabitkan 400 peserta daripada lebih 30 kumpulan.

Jelasnya, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu kategori lelaki dan campuran dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM13,200.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Duta pelancongan Fan Bingbing bawa impak positif untuk Melaka
Next post Melaka ke arah negeri separa industri, perlukan lebih ramai graduan TVET
Ubah saiz-+=