Eksesais bersama Shield 2022 bermula esok

Masa Membaca:52 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Mac Negara-negara anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) akan melaksanakan latihan bersama di sekitar Semenanjung Malaysia dan Singapura mulai esok hingga 1 April ini.

Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan hari ini memaklumkan Eksesais Bersama Shield 2022 itu merupakan eksesais gabungan tahunan antara angkatan tentera negara-negara FPDA iaitu Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom.

“Eksesais berkenaan melibatkan sebahagian kawasan perairan, darat, udara Semenanjung Malaysia dan Singapura termasuk kawasan perairan serta udara Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di Laut China Selatan.

“Sepanjang eksesais itu berlangsung, akan terdapat aktiviti penerbangan yang aktif di sekitar ruang udara Semenanjung Malaysia serta Singapura,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tempoh latihan itu terdapat juga pesawat tentera yang akan terbang rendah dari Malaysia dan Singapura melalui sebahagian ruang udara Malaysia terutama di negeri Johor untuk ke kawasan latihan di Laut China Selatan.

Oleh itu, penduduk serta masyarakat sekitar kawasan latihan dinasihat agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat tentera terbang rendah sepanjang eksesais berlangsung.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1432
Kongsi :
Previous post UMNO garis lima teras demi kelestarian politik negara – Ahmad Zahid
Next post Hakimah wanita pertama dilantik Ketua Pengarah JAKIM
Ubah saiz-+=