Eksesais helang laut, komitmen APMM pelihara perairan negara

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

ALOR GAJAH 1 Okt. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan Eksesais Helang Laut di perairan Selat Melaka di sini, semalam sebagai usaha memastikan tahap kesiapsiagaan aset, pegawai dan anggota melaksanakan penguatkuasaan undang-undang pada tahap optimum.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata eksesais selama satu hari itu termasuk latihan mencegah kemasukan pendatang asing yang menceroboh sempadan negara menerusi operasi kawalan sempadan bagi Op Benteng di bawah Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF).

Beliau berkata eksesais itu juga bagi menilai dan meningkatkan lagi kecekapan tatacara pengendalian prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan Rule of Use of Force (RUF) dilaksanakan pegawai dan anggota APMM sentiasa berada pada tahap terbaik di lapangan semasa melakukan penguatkuasaan mahupun ketika operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

“Selain latihan bagi mengukuhkan kesiagaan serta kepakaran pegawai, anggota dan Pasukan Tindakan Khas (STAR Team) dalam melaksanakan tugas serta pengendalian aset seperti kapal, bot, pesawat udara dan jet ski, turut dilaksanakan, simulasi penguatkuasaan dan CARILAMAT dalam sesi eksesais ini.

“Prosedur latihan yang dijalankan turut meliputi prosedur pengendalian helikopter untuk pendaratan di atas dek kapal KM Pekan oleh kru pesawat dan kru kapal, tata cara ‘fast roping’ oleh anggota-anggota STAR Team, pengendalian boarding atau penggeledahan oleh anggota kapal dan bot serta latihan rutin bagi meningkatkan kemahiran dan kelancaran komunikasi antara aset-aset yang terlibat dalam eksesais ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata Eksesais Helang Laut itu turut melibatkan pelbagai aset laut dan udara antaranya KM Pekan, KM Gagah, KM Kota Kinabalu, KM Bagan Datuk, Bot Kilat, Bot Benteng, jet ski, helikopter AW139 dan AS 365 N3 serta pesawat Bombardier CL415MP.

Beliau berkata penglibatan ketua pengarah serta barisan pengurusan tertinggi dalam eksesais berkenaan menunjukkan komitmen dan sokongan APMM dalam mendukung usaha kerajaan bagi mencegah potensi kluster baharu COVID-19 dari luar negara yang cuba memasuki Malaysia secara haram serta mampu mengugat keselamatan rakyat dan negara.

Terdahulu, beliau bersama pengurusan tertinggi serta pegawai kanan Maritim Malaysia turut terlibat dalam eksesais tersebut bersama 150 pegawai dan anggota.

Dalam pada itu beliau berkata sejak Op Benteng dilancarkan pada Mei lalu sehingga September, Maritim Malaysia telah melakukan 78 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan lebih RM37 juta.

– BERNAMA

Views:

1022
Kongsi :
Previous post Ubah fakta sejarah perbuatan jenayah intelek, keilmuan – Sultan Nazrin
Next post Pemain, pegawai MU bebas COVID-19
Ubah saiz-+=