Ekspo Bundle Terbesar di Asia Tenggara kini di Melaka !

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 Jan – Pameran dan jualan ‘Bundle Expo’ terbesar di Asia Tenggara berlangsung selama empat hari di Pusat Beli-Belah Elements Mall, di sini, mula dibuka kepada orang ramai semalam.

Jualan koleksi pakaian terpakai pelbagai jenama disertai lebih 130 gerai dari seluruh negeri menjadikan Melaka sebagai persinggahan kedua selepas jelajah ekspo itu dimulakan sebulan lalu.

Pengurus acara itu, Noor Effendy Azlan berkata, meskipun dikenakan bayaran masuk sebanyak RM5 pengunjung khusus peminat dan pengumpul barangan vintaj dijanjikan pelbagai jenis pilihan pakaian, kasut, topi, beg serta pelbagai lagi koleksi termasuk barangan antik yang membawa nilai sentimental buat peminatnya.

KOLEKSI kasut pelbagai jenama turut dijual dalam eskpo pameran dan jualan itu.

“Jelajah kali ini memilih Melaka sebagai destinasi kedua selepas Kuala Lumpur dan selepas ini kami akan ke destinasi lain bermula dari selatan tanah air.

“Program dianjurkan ini mampu menjadi satu lagi daya tarikan baru di melaka terutama dalam kalangan orang muda kerana ramai yang mula menunjukkan minat dalam industri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Sementara itu, adiknya, Mayang Sari Azlan berkata, penganjuran ekspo itu direncanakan mereka berdua sejak tiga tahun lalu dan bertujuan untuk mengenengahkan konsep perniagaan bundle yang baru selain menarik minat lebih ramai peniaga baru.

Pintu masuk utama ekspo berkenaan.

“Majoriti peniaga mengambil bahagian kali ini adalah dalam kalangan anak muda yang baharu berkecimpung dalam dunia perniagaan atas talian. Menerusi ekspo ini mereka didedahkan dengan dunia perniagaan sebenar.

“Kami mahukan industri ini diangkat setaraf dengan dunia fesyen lain pada masa akan datang dan bukannya kekal di tapak pasar malam saja,” katanya.

Tinjauan MHI di tingkat 10 bangunan pusat beli-Belah itu mendapati ekspo berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai pelbagai peringkat umur yang ‘meninjau’ koleksi kegemaran masing-masing.

Sementara itu, seorang pengunjung, Adam Mahamat,30 berkata, produk yang ditawarkan amat memuaskan dan memenuhi cita rasa pencinta bundle di negara ini.

Orang ramai akan dikenakan tiket RM5 seorang sebelum memasuki Bundle Expo yang diadakan di Pusat Beli Belah Elements Mall Melaka.

“Alhamdulillah program diadakan ini juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan malah suasananya selesa, keadaan gerai juga teratur membuatkan rata-rata pengunjung berpuas hati dengan acara yang diadakan kali ini,” katanya.

Bundle Expo berlangsung di Elements Mall hingga Ahad ini, dibuka kepada orang ramai dari jam 11 pagi hingga jam 11 malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4112
Kongsi :
Previous post Skuad Harimau Malaya kurang harmoni, wujud budaya berpuak – Dell
Next post MITRA: SPRM tahan 22 individu termasuk pengarah syarikat, presiden persatuan
Ubah saiz-+=