Ekspo penghubung antara IPT dan bakal pelajar
AYER KEROH 19 Jun- Ekspo Pendidikan Melaka 2022 bukan sahaja menyediakan pelbagai informasi malah memberi ruang kepada pihak Institusi pengajian tinggi (IPT) menerangkan secara terperinci mengenai institusi mereka kepada bakal pelajar dan ibu bapa.
Bagi pensyarah dari Universiti Melaka (UNIMEL) Haneefa Shahrom berkata, penerangan secara berdepan nyata memberi kefahaman yang lebih jelas mengenai bidang dan hala tuju sesuatu bidang yang ditawarkan oleh pihak universiti.
Katanya, melalui ekspo seperti ini ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan mengetahui secara lebih mendalam mengenai kesesuaian bidang yang boleh diambil berdasarkan kepuutsan yang diperoleh.
“Seperti UNIMEL kami mempunyai lapan fakulti untuk pengajian di peringkat Diploma dengan lebih 15 kursus yang ditawarkan jadi dengan adanya sesi penerangan secara bersemuka ia akan lebih berkesan dan dapat mengambarkan hala tuju selepas tamat pengajian.
“Alhamdulillah untuk tiga hari ini sambutan di booth kami amat menggalakkan malah ramai yang sudah mendaftar secara terus selepas diberitahu dengan jelas apa yang ditawarkan di UNIMEL ini,” katanya.
Bagi pensyarah dari Kolej SMART Benedict Linang pula berkata, ekspo pendidikan yang dijalankan selama tiga hari ini perlu diteruskan pada masa hadapan kerana dengan platform ini penerangan dan maklumat dapat diterangkan secara terperinci.
“Dengan pameran seperti ini pelajar dan ibu bapa dapat melihat dengan jelas tentang sesuatu perkara contohnya kursus yang ditawarkan. Untuk kami di Kolej SMART mempunyai lapan kursus diperingkat diploma yang ditawarkan.
“Apabila mereka hadir ke gerai pameran, kami akan menerangkan secara jelas. Untuk kolej kami ramai yang berminat dengan penyiasatan forensik dan sepanjang ekspo ini berlangsung kami menerima lebih 20 permohonan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.